Fokus kembali kepada rakyat

A
A
A

TANGGAL 1 Januari setiap tahun selalunya diraikan oleh ramai daripada segenap lapisan.

Mereka yang bekerja sudah pasti akan menggunakan cuti yang diperuntukkan untuk berehat.

Ibu bapa pula mengambil peluang membuat persiapan akhir untuk anak-anak memulakan persekolahan dan bagi anak-anak pula, ia sebagai petanda untuk kembali ke sekolah.

Itulah lumrah biasa yang kita semua lalui bersama.

1 Januari juga harus dijadikan peluang untuk mengimbau semula 365 hari yang lepas.

Peluang muhasabah itu digunakan sebaiknya untuk menetapkan azam baharu atau meneruskan azam tahun sebelumnya yang tertangguh.

Bagi rakyat Malaysia, 365 hari yang lepas adalah satu perjalanan hidup yang mencabar lebih-lebih lagi era Malaysia Baharu ini.

Hakikatnya rakyat sebenarnya mengeluh di bawah.

Artikel Berkaitan:

Mereka dijanjikan bulan dan bintang sewaktu kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tempoh hari.

Janji manifesto seperti harga minyak RM1.50 seliter, menghapuskan hutang PTPTN, gaji minimum RM1,500, menghapuskan tol dan hutang peneroka semuanya tidak dilunaskan.

Situasi ekonomi negara semakin parah. Mereka menjanjikan bahawa ekonomi negara akan pulih selepas mereka menguasai Putrajaya.

Pada tahun 2019, kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengunjurkan bahawa ekonomi negara akan berkembang sebanyak 4.9 peratus tetapi hakikatnya hanya bertumbuh 4.7 peratus, iaitu kurang 0.2 peratus dan ada badan bebas yang mengunjurkan lebih rendah.

Rakyat terpaksa berdepan dengan cabaran ekonomi yang sukar, harga barangan meningkat pada tahun 2019 dan dijangka terus meningkat apabila cukai baharu dan subsidi petrol bersasar akan dilaksanakan pada tahun 2020.

Hutang negara pula terus meningkat dan boleh mencecah jumlah terbaharu iaitu lebih RM800 bilion pada tahun 2019.Kita masih ingat lagi mantra ‘BN Turun, Ringgit Naik’, sehinggakan tular video seorang pendokong PH yang berkata, RM kita sudah tidak laku di Thailand.

Realitinya Ringgit Malaysia terus berada pada paras yang lemah berbanding sebelum PRU14 manakala walaupun pendokong kerajaan Pakatan Harapan ketika ini cuba memanipulasi berita mengenai kenaikan harga minyak sawit mentah (CPO) mencecah lebih RM3,000 setan, hakikatnya harga buah tandan segar yang lebih penting bagi pekebun kecil dan peneroka FELDA hanya naik secara marginal ketika musim buah melawas kini.

Institusi

Tahun 2019 juga menyaksikan reformasi institusi yang dijanjikan dan lebih tertumpu soal kosmetik sahaja, tidak substantif.

Institusi pelaburan rakyat khususnya Islam-bumiputera seperti Tabung Haji, PNB dan LTAT dirombak kononnya atas nama reformasi sehingga menjejaskan pulangan pelaburan seperti baru-baru ini agihan pendapatan Amanah Saham Bumiputera (ASB) hanya 5.5 peratus dan Hibah tahun 2018 TH hanya 1.25 peratus.

Peneroka FELDA juga nyata masih keliru apakah hala tuju FELDA di bawah PH kerana yang kerap ditonjolkan di media hanyalah misi untuk menyaman dan menghukum pentadbiran lepas.

Apabila dipersoal oleh rakyat yang marah dan kecewa, kerajaan PH tanpa segan terus menuding jari kepada orang lain seperti pentadbiran BN yang lepas.

Apabila dicabar untuk diadakan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) pada institusi-institusi itu, mereka terus memberikan 1,001 alasan bahawa ia tidak diperlukan.

Era Malaysia Baharu pada tahun 2019 juga dipenuhi dengan cabaran yang amat penting kepada hubungan antara kaum di tanah bertuah ini.

Tindakan segelintir pihak yang berani mempersoalkan isu-isu sensitif yang dijamin Perlembagaan Persekutuan seperti Islam, Raja-Raja Melayu, Bahasa Melayu termasuklah jawi serta kedudukan istimewa bumiputera hanya bakal meningkatkan ketegangan antara kaum-kaum di Malaysia.

Itulah antara perkara yang rakyat terpaksa hadapi sepanjang tahun 2019 dan tahun 2020 akan kekal sukar malah bakal menyulitkan sekiranya pimpinan kerajaan PH hanya sibuk mengumpul kekuatan dan pengaruh bagi mendepani persoalan penting mengenai Perdana Menteri selepas ini.

* Dr Asyraf Wajdi Dusuki ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!