Tiada siapa akan ditinggalkan dalam pemilihan Amanah - Adly

Adly Zahari
Adly Zahari
A
A
A

KLANG - Parti Amanah Negara (Amanah) memberi jaminan bahawa pemimpin yang dilantik bagi sesi pemilihan kali ini merupakan mereka yang terbaik dalam kalangan terbaik berdasarkan model pemilihannya.

Naib Presiden Amanah, Adly Zahari berkata, model pemilihan Amanah adalah yang terbaik berdasarkan pengalaman sebelum penubuhan parti itu.

"Model pemilihan Amanah ini memilih 27 orang, sama ada sayap dan peringkat nasional, kerana itu bagi kita model ini adalah model terbaik.

"Tak akan ada siapa yang akan ditinggalkan dalam pemilihan ini. Kita akan memilih yang terbaik dalam kalangan yang terbaik.

"Jadi model ini yang kita akan gunakan sebab itu merit, pengalaman-pengalaman mereka yang terdahulu apa yang telah mereka lakukan dalam kepimpinan Amanah ini semua diambil kira," katanya dalam sidang akhbar selepas Perasmian Konvensyen Angkatan Wanita Parti Amanah Negara (Awan), di sini pada Jumaat.

Tegas beliau, kaedah konsensus dibuat oleh 27 pemimpin yang dipilih perwakilan juga bukti model pemilihan Amanah adalah terbaik.

"Selama lapan tahun, buat masa ini tak ada masalah bagi Amanah...kita merasakan semua kepimpimpinan terbaik itu ada dalam barisan kepimpinan yang bakal dipilih.

"Model ini akan beri yang terbaik kepada Amanah dan oleh kerana parti ini merupakan sebagian parti politik yang membentuk Malaysia, jadi kita fikir kekuatan Amanah adalah kekuatan Kerajaan Perpaduan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ditanya mengenai Pengarah Strategi Amanah, Dr Dzulkefly Ahmad yang disebut sebagai calon paling layak menggantikan tempat Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub sebagai timbalan presiden Amanah, beliau berkata, setiap pandangan akan diambil kira.

"Amanah banyak pemimpin yang berpotensi, semua akan dipertimbangkan.

"27 yang dipilih akan diberi peluang nyatakan pandangan mereka...saya fikir memang ada banyak potensi pemimpin amanah yang boleh kita letakkan sebagai timbalan presiden parti," katanya.