Di penghujung perlumbaan hidup
OLEH kerana hampir semua daripada kita menggunakan kalendar Masihi, kita lebih selesa meraikan 1 Januari 2020 sebagai hari pertama pada tahun baru.
Selamat menyambut tahun baru kepada anda yang setia mengikuti kolum Maaf Cakap ini.
Tahun 2020 punyai signifikannya yang tersendiri. Bagi peminat nombor, 2020 adalah istimewa kerana angkanya yang berganda.
Mereka berasa tahun-tahun 1919, 1818 ataupun 1717 sebagai angka-angka tahun yang istimewa.
Dari segi perubatan, visi 20/20 adalah pandangan mata yang jelas diukur dari jarak 20 kaki.
Visi 20/20 itu telah menginspirasikan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mencetuskan Wawasan 2020.
Malangnya Dr Mahathir sendiri telah mengubah ke sasaran baharu kepada Wawasan 2025 kerana Wawasan 2020 dikatakan telah lari daripada fokus asal. (Ramaikah yang tahu akan Wawasan 2025 ini?)
2020 membawa kita lebih jauh dalam era Revolusi Industri 4.0.
Teknologi kian pantas berkembang dan berubah. Siapa lambat, akan ketinggalan.
Artificial Intelligence (AI) semakin mengambil alih tugas manusia.
Jaringan data mobile 5G akan dilancar. Ia bukan sahaja meliputi kota-kota utama dunia, malah akan menjalar ke bandar-bandar kecil.
Kenderaan automatik nanti bukan sahaja setakat penukaran gear, penyalaan lampu, membuka dan mengunci kenderaan atau menghidup dan mematikan enjin.
Kenderaan akan datang boleh menukar lorong, membantu parkir, memilih haluan, malah memberi pelbagai ingatan dan cadangan kepada pemandunya termasuk hendak makan apa pada hari ini!
Smartwatches yang memberi ingatan mengenai jadual harian, membaca degupan jantung, nadi dan mengira berapa langkah kita berjalan pada sesuatu hari akan dapat pula membaca tahap kesihatan si pemakai dan mencadangkan jenis ubatan yang harus diambil.
Pengalaman digital melalui Virtual Reality, Augmented Reality dan Mixed Reality akan diintegrasi sebagai Extended Reality bila manusia boleh berinteraksi dengan objek digital yang dijelmakan di alam nyata.
Fikirkan seseorang bermain alat piano holografi di dalam biliknya!
Teknologi Blockchain yang dipandang enteng akan menjadi penting. Syarikat-syarikat multinasional makin banyak melabur dalam teknologi itu.
Rakyat Malaysia yang biasa dengan Facebook pun akan didekatkan dengan teknologi itu apabila media sosial itu mempunyai matawang crypto yang dinamakan Libra.
Perkhidmatan memesan makanan melalui Foodpanda atau Grabfood, memanggil kenderaan melalui Grab atau MyCar, membeli secara dalam talian di Shopee dan Lazada dengan membayar melalui payment gateway billplz atau Raudhahpay yang pada mulanya adalah gaya hidup akan menjadi cara hidup.
Ia bukan kehendak, tetapi sudah menjadi keperluan.
Semua perubahan yang dibawa oleh teknologi Revolusi Industri 4.0 itu boleh menjadikan kita berasa lemas dan tenggelam punca.
Setakat hari ini pun, teknologi yang muncul di telefon pun menjadikan kita lalai hingga tidak berpijak di bumi nyata.
Berapa ramai antara kita yang membaca berita yang tidak penting apatah lagi yang palsu?
Kalau dahulu, kita bersembang di kedai kopi atau di tepi tingkap, kini kita boleh bersembang dengan berbelas-belas kumpulan dalam WhatsApp.
Berapa banyak masa terbuang bila menghadap telefon walaupun kita hanya menjadi silent reader?
Justeru, betapa pun perubahan yang berlaku di sekeliling kita, jangan lupa yang kita ini adalah insan yang punyai perasaan, yang boleh menimbang di antara yang buruk dan yang baik.
Kita ada peranan dan tugas di alam nyata. Kita juga ada tanggungjawab yang perlu dibereskan sebelum kita dipindahkan ke alam yang lain nanti.
Tidak perlu rasa ketinggalan dengan apa yang berlaku di sekeliling kita kerana kita akan meninggalkan semua yang ada di alam fana ini. Seharusnya kita berasa ketinggalan untuk mempersiapkan diri.
Sebaiknya semakin kita menghampiri penghujung perlumbaan hidup, kita sepatutnya semakin deras berlari. Sewajibnya, semakin menghampiri garisan penamat, kita tak boleh berlenggang-lenggok seraya menoleh ke kiri dan kanan dengan penuh santai.
Mana boleh sudah berasa menang meskipun belum tamat perlumbaan?
* Norden Mohamed ialah bekas Ketua Pengarang Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!