Tsunami 15 tahun kemudian
RAKYAT Malaysia yang berusia dewasa masih ingat lagi bagaimana ombak tsunami menerjang pantai-pantai Pulau Pinang dan selatan Kedah hingga mengakibatkan 68 jiwa terkorban.
Siri gelombang yang berlaku dalam hanya beberapa minit pada pagi Ahad 26 Disember 2004 itu berpunca dari kawasan Lautan Hindi jauh dari pesisiran pantai-pantai Malaysia.
Gempa bumi Lautan Hindi 2004 berlaku pada jam 00:58:53 waktu universal selaras (Coordinated Universal Time) pada 26 Disember dengan epipusat (epicentre) antara pulau Simeulue dengan pulau Sumatera, Indonesia.
Gegaran itu mempunyai skala magnitud momen 9.1-9.3. Gempa bumi tujahan mega (megathrust) bawah laut itu disebabkan oleh Plat India diturunkan oleh Plat Burma.
Pergerakan besar-besaran itu mencetuskan satu siri tsunami yang dahsyat di sepanjang pantai kebanyakan daratan yang bersempadan dengan Lautan Hindi.
Arus air yang digerakkan adalah selaju 500 batu sejam, yakni selaju penerbangan sebuah pesawat jet.
Ia lantas meragut nyawa 230,000-280,000 orang di 14 buah negara dan membanjiri masyarakat pantai dengan gelombang setinggi hingga 30 meter (100 kaki).
Ia adalah salah satu bencana alam paling dahsyat dalam sejarah yang pernah direkodkan.
Indonesia menerima akibat yang paling memilukan apabila gelombang tsunami setinggi 30 meter menerjang daratan Banda Aceh, Calang, Meulaboh serta Lhok Nga dan Leupung (sebut: lē-pung).
Sri Lanka, India dan Thailand turut terkesan dengan bencana tsunami dahsyat itu.
Gempa bumi itu menyebabkan seluruh planet bergetar sebanyak 1 sentimeter (0.4 inci) dan mencetuskan gempa bumi yang lain sejauh Alaska.
Nasib penduduk beberapa buah negara yang terjejas menyebabkan respons kemanusiaan di seluruh dunia.
Sekitar 50 buah negara memberi respons yang pantas dalam bentuk bantuan kewangan dan pelbagai lagi.
Secara keseluruhannya, masyarakat dunia menyumbang lebih daripada AS$14 bilion dan juga dalam bentuk sumbangan kemanusiaan yang lain.
Peristiwa itu dikenali oleh masyarakat saintifik sebagai gempa bumi Sumatera – Andaman.
Statistik yang mutakhir menunjukkan bahawa bencana tsunami 26 Disember 2004 telah mengorbankan 167,799 nyawa (termasuk 37,063 orang yang hilang) di Aceh.
Pada hari Isnin, 15 Ogos 2005 (bertepatan dengan ulang tahun ke-60 penyerahan kalah Jepun pada hujung Perang Dunia Kedua) perjanjian damai antara pemerintah Indonesia dengan Gerakan Aceh Merdeka (GAM) di Helsinki telah disaksikan oleh Martti Ahtisaari, ketua pertubuhan bukan kerajaan Crisis Management Initiative.
Itu mengakhirkan konflik bersenjata selama 30 tahun antara GAM dengan pemerintah di Jakarta.
Alhamdulillah, saya sempat terlibat dalam usaha bantuan kemanusiaan dari Malaysia dan telah berpeluang untuk berkhidmat sebagai doktor perubatan dan pakar psikiatri pada Januari dan Jun 2005 di Banda Aceh dan Meulaboh (sebut: mē-la-boh).
Sejak itu saya telah ke Aceh tiga kali untuk membentangkan kertas kerja dalam pelbagai mesyuarat serta persidangan nasional dan antarabangsa sebagai pembicara jemputan.
Pada 18 hingga 21 November 2019 saya telah ditemani isteri untuk mengunjungi Aceh buat kali ketujuh.
Ini termasuk kali pertama saya ke Banda Aceh pada tahun 1997 untuk membentangkan kertas di sebuah seminar antara Indonesia dan Malaysia.
Kunjungan saya yang terkini adalah pada bulan November lepas bertujuan mengumpul bahan untuk buku saya yang terkini tentang Aceh.
Buku dalam bahasa Melayu itu sedang disunting dan insya-ALLAH akan diterbitkan DBP.
Selama 15 tahun pasca tsunami, Aceh terus membangun dan proses demokrasi berjalan secara optimum hinggalah semua pilihan rayanya dapat dilaksanakan secara aman.
Semakin ramai rakyat Malaysia mengunjungi Aceh yang indah.
* Dr Mohamed Hatta Shaharom ialah Pengerusi Lembaga Pengelola DBP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!