SpaceX Dragon pulang ke bumi selepas beberapa kali tertunda

SpaceX Dragon - Foto blogs.nasa.gov
SpaceX Dragon - Foto blogs.nasa.gov
A
A
A

MOSCOW - Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) pada Khamis berkata kapal angkasa SpaceX Dragon telah meninggalkan Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) selepas beberapa kali tertunda.

Kelewatan itu disebabkan oleh keadaan cuaca yang tidak baik dan kapal angkasa itu dijangka melakukan pendaratan di luar pantai Florida pada pagi Jumaat, lapor Sputnik.

"Pemisahan disahkan!@SpaceX’s CRS-29 Dragon kini dalam perjalanan ke bumi, dijadualkan mendarat di luar pantai Florida," kata NASA di X, sebelum ini dikenali sebagai Twitter.

Agensi angkasa lepas berkata, kapal angkasa itu membawa kira-kira 4,400 paun (hampir 2,000 kilogram) 'kargo saintifik berharga' kembali ke bumi, termasuk data menilai cara sel-sel bertindak balas terhadap graviti, penyesuaian genetik tumbuhan di angkasa dan banyak lagi.

NASA berkata, kapal angkasa Cygnus tanpa kru milik Northrop Grumman juga dijangka meninggalkan ISS pada Jumaat pada kira-kira pukul 7.45 pagi EST (10:05 GMT).

Tidak seperti kapal angkasa Dragon, Cygnus akan terbakar dengan selamat dalam atmosfera bumi.

Misi pembekalan semula ke-29 SpaceX ke ISS tiba di stesen itu pada 11 November dan membawa 6,500 paun (hampir 3,000 kilogram) kargo, termasuk penyelidikan sains baharu untuk mengkaji gelombang graviti atmosfera.

Ia juga menguji komunikasi laser kadar data tinggi dari stesen angkasa ke bumi selain membawa bekalan kepada angkasawan. - Bernama/Sputnik

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!