Kedutaan AS di Iraq 'diserang' penunjuk perasaan
BAGHDAD - Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di ibu negara Iraq hari ini kecoh selepas dikerumuni ribuan penunjuk perasaan yang berang dengan insiden serangan yang meragut 25 nyawa anggota militia, Khataib Hizbullah yang disokong Iran pada Ahad lalu.
Tindak balas itu dibuat susulan serangan roket dilancarkan kumpulan militia terbabit ke atas pangkalan tentera Iraq di Kirkuk yang menyebabkan seorang kontraktor warga AS maut.
Perdana Menteri Iraq, Adel Abdul Mahdi dalam satu kenyataan mendakwa serangan udara itu melanggar kedaulatan negara tersebut dan beliau akan mengkaji semula hubungan dengan Washington.
Tentera AS terpaksa melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan kumpulan protes terbabit yang cuba memecahkan tembok pekarangan premis itu yang terletak di Zon Hijau yang turut menempatkan pejabat kerajaan dan kedutaan asing lain yang dikawal dengan keselamatan ketat.
Salah satu menara pengawal juga dibakar dalam insiden demonstrasi ganas tersebut.
Keadaan yang semakin tegang itu menyebabkan Mahdi terpaksa mengarahkan kesemua mereka meninggalkan kawasan Kedutaan AS terbabit dengan segera.
Sementara itu, Presiden AS, Donald Trump dengan lantang menuduh Iran merancang protes tersebut dan beliau turut meminta tentera Iraq supaya menggunakan kuasa mereka untuk melindungi kedutaan berkenaan. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!