Juruwang cemas diacu parang
PELABUHAN KLANG - Seorang juruwang di sebuah stesen minyak di Pulau Indah, di sini melalui detik cemas apabila diacukan parang pada badannya dalam kejadian samun, awal pagi tadi.
Menurut Nur Shakirah Zazali, 28, dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu dia bersama seorang pekerja berada dalam premis berkenaan manakala seorang lagi berada di dalam tandas.
“Ketika itu, pintu utama premis sudah ditutup sebab dah lewat dan saya perasan ada lima lelaki menaiki tiga motosikal berlegar-legar di luar premis tapi saya tak syak apa-apa.
“Lagipun masa tu ada beberapa pelanggan di luar premis,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Katanya, sejurus selepas itu, seorang lelaki meluru ke arah premis dan memecahkan pintu utama menggunakan tukul.
“Hanya tiga kali ketuk, pintu itu pecah berderai dan tiga lagi lelaki meluru masuk ke dalam premis, manakala seorang berada di luar untuk mengawal keadaan.
“Dua suspek memegang parang dan seorang daripadanya melompat masuk ke dalam kaunter bayaran. Dia menjerit suruh saya keluarkan wang dari mesin daftar tunai sambil mengacukan parang ke badan saya.
“Suspek terus mengambil peti berisi wang tunai dan menyelongkar rak rokok berhampiran kaunter bayaran. Kerugian kira-kira RM10,000, tak termasuk pintu yang dipecahkan suspek,” katanya.
Tambah Nur Shakirah, dia tidak dapat mengecam penjenayah terbabit kerana mereka memakai topi keledar dan penutup muka.
“Mereka mungkin warga tempatan disebabkan gaya percakapan mereka.
“Kejadian berlaku sangat pantas, tak sampai lima minit pun,” katanya yang masih trauma dengan kejadian itu.
Dia yang baru sebulan bekerja memberitahu, kejadian itu pertama kali berlaku sejak stesen minyak terbabit beroperasi tujuh tahun lalu.
Sementara itu, rakannya, Huzaimah Asahad, 40, berkata, dia hanya menyedari kejadian itu apabila terdengar bunyi bising serta cermin pecah.
“Saya kat dalam tandas masa kejadian dan hanya sedar bila bunyi bising dalam premis serta bunyi cermin pecah.
“Saya tak mampu berbuat apa-apa sebab penyamun itu berparang, bimbang rakan saya diapa-apakan mereka,” katanya.
Katanya, dia berharap kelima-lima suspek itu dapat ditangkap segera.
“Di sini ada 26 kamera litar tertutup (CCTV) dan pihak polis sudah datang untuk menjalankan siasatan. Harap suspek dapat diberkas,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan bersenjata.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!