PKM Bukit Lanjan sedia bantu pasang CCTV di Apartmen Idaman

Apartmen Idaman Damansara Damai menjadi tumpuan susulan kejadian pembunuhan Zayn Rayyan.
Apartmen Idaman Damansara Damai menjadi tumpuan susulan kejadian pembunuhan Zayn Rayyan.
A
A
A

PETALING JAYA - Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Bukit Lanjan bersedia membantu pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di Apartmen Idaman, Damansara Damai di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan, Pua Pei Ling berkata, ia sebagai langkah keselamatan bagi mencegah kejadian menimpa kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, daripada berulang.

Pei Ling
Pei Ling

Menurutnya, perkara tersebut telah dibincangkan bersama Ahli Parlimen Damansara, Gobind Singh Deo dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya serta Badan Pengurusan Bersama (JMB) apartmen tersebut.

"Kita juga akan mengadakan sesi perbincangan bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk memagarkan kawasan tebing sungai bagi mengelak orang awam memasuki kawasan tersebut," katanya mengulas langkah meningkatkan keselamatan di pangsapuri berkenaan.

Zayn Rayyan yang dilaporkan hilang pada 5 Disember lalu telah ditemui meninggal dunia di anak sungai terletak kira-kira 200 meter dari kediamannya sehari kemudian.

Bedah siasat mendapati terdapat kecederaan pada leher dan anggota badan dipercayai mangsa dibunuh.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, namun setakat ini tiada tangkapan dibuat.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian sebelum ini melaporkan tiada CCTV di lokasi kejadian mayat itu ditemukan dan wakil JMB Apartmen Idaman, Nor Haizam Hidir memaklumkan, pangsapuri berkenaan hanya terdapat empat CCTV di kawasan perumahan 18 blok tersebut.

Susulan kejadian tersebut, penduduk memohon aspek keselamatan ditingkatkan dan mencadangkan pemasangan CCTV dilakukan bagi mencegah insiden sama berulang.

Pei Ling dalam pada itu berkata, pemasangan CCTV itu merupakan projek perintis yang dalam proses perbincangan untuk diperluaskan ke beberapa kawasan perumahan lain.

Ujarnya, pihaknya menggalakkan pemasangan CCTV dan rakaman video kamera papan pemuka (dashcam) kereta sebagai langkah keselamatan, mengikut kemampuan masing-masing.

"Kos pemasangan CCTV adalah tinggi dan memerlukan bilik kawalan.

"Biasanya bagi JMB atau persatuan penduduk, kita galakkan mereka bekerjasama dengan PBT supaya kos ini dapat ditanggung bersama atau PBT dapat bantu, " katanya.

Pada masa sama katanya, pelbagai program kesedaran mengenai penjagaan anak istimewa juga dalam perancangan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!