Shiha Zikir pertahan Kalam

Shiha Zikir (tengah) teruja lagu nyanyian dan hasil nukilannya, Kalam mara ke pentas keramat Anugerah Juara Lagu Ke-38.
Shiha Zikir (tengah) teruja lagu nyanyian dan hasil nukilannya, Kalam mara ke pentas keramat Anugerah Juara Lagu Ke-38.
A
A
A

PENYANYI Shiha Zikir tidak dapat menyembunyikan rasa teruja apabila lagu nyanyian dan hasil nukilannya, Kalam diumum mara ke pentas keramat Anugerah Juara Lagu Ke-38 (AJL38).

Menurut Shila atau nama penuhnya Nurshiha Mohd Zikir, tiada kata yang mampu diucap selain rasa syukur tatkala mendengar lagu Kalam nukilannya sendiri bersama komposer muda Iqie Hugh, Firdaus Rahmat dan John Jeeves dipilih mara bersama 11 buah lagu lain.

Shiha Zikir
Shiha Zikir

“Sebenarnya dari peringkat separuh akhir lagi saya berasa sebak dan terharu kerana ramai peminat sedar kewujudan lagu Kalam dan mengundinya hingga ke tahap ini.

“Sekarang ni bila layak ke AJL, rasa gembira dan bersemangat memandangkan lagu ini sangat bermakna buat Shiha kerana ia sebuah lagu tradisional fusion.

“Shiha memang nak sangat lagu berentak tradisional macam ni layak ke peringkat tertinggi seperti AJL,” ulasnya ketika ditemui pada pengumuman 12 lagu yang mara ke AJL38 di Semi Final Muzik Muzik 38 (SFMM38) baru-baru ini.

Ditanya tentang dakwaan segelintir netizen yang melabelkan Kalam sebagai sebuah lagu sendu, Shiha tenang memberikan responsnya.

Shiha Zikir
Shiha Zikir

Artikel Berkaitan:

“Jika benar sambutannya sendu, tak mungkin lagu ini akan dipilih sebagai 30 buah karya di peringkat separuh akhir kerana untuk berada di SFMM38, ia perlukan undian yang cukup daripada peminat,” jelasnya.

Dalam masa sama, terdapat beberapa pihak mempertikaikan kemasukan Shiha ke peringkat akhir AJL38 yang disifatkan terlalu kerap.

“Kali pertama sewaktu AJL35, saya masuk sebab menggantikan Datuk Seri Siti Nurhaliza menyanyikan lagu 7 Nasihat.

“Pada edisi AJL36 barulah buat julung kalinya saya lepas ke pentas akhir dengan lagu nyanyian sendiri iaitu AEWO bersama Noki.

“Tahun lepas adalah yang kedua kalinya menerusi lagu Irama. Itupun saya cuma menang kategori Persembahan Terbaik, bukannya menang keseluruhan,” ujarnya yang meletakkan AJL sebagai penanda aras dalam memastikan kesemua lagu-lagu yang dihasilkan berkualiti selain memenuhi cita rasa pendengar.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!