Tarif elektrik: Tujuh juta pengguna domestik tidak terjejas
PUTRAJAYA - Seramai tujuh juta atau 85 peratus pengguna domestik di Semenanjung tidak terjejas dengan pelarasan tarif elektrik yang bermula 1 Januari sehingga 30 Jun tahun depan.
Suruhanjaya Tenaga (ST) menerusi kenyataan memaklumkan, sejumlah 99.0 peratus atau 8.2 juta pengguna domestik masih menerima subsidi daripada kerajaan.
"Bagi semua pengguna bukan domestik, surcaj yang dikenakan adalah kekal sama," kata suruhanjaya itu pada Jumaat.
Menurut ST, pengguna domestik dengan unit penggunaan elektrik sebanyak 600 kWj dan ke bawah kekal menerima rebat 2 sen/kWj.
"Pengguna dengan unit penggunaan elektrik melebihi 600 kWj hingga 1,500 kWj tidak dikenakan surcaj dan surcaj bagi penggunaan melebihi 1,500 kWj kekal pada kadar 10 sen/kWj," katanya.
Kenyataan itu memaklumkan, pengguna bukan domestik dalam kategori tarif komersial dan perindustrian voltan rendah (tarif B dan D), pengguna dalam kategori tarif pertanian spesifik (tarif H, H1 dan H2) dan operator air serta pembetungan, surcaj kekal pada kadar 3.70 sen/kWj.
"Pengguna bukan domestik selain itu kekal surcaj pada kadar 17 sen/kWj," menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu turut memaklumkan, kerajaan memperuntukkan RM1.9 bilion subsidi untuk kategori pengguna yang terbabit bagi meminimumkan impak surcaj mekanisma Pelepasan Kos Tidak Berimbang (ICPT) sepanjang tempoh pelaksanaan itu.
"Pengguna boleh merujuk kepada bil elektrik bulanan masing-masing bagi memantau penggunaan elektrik dan subsidi yang diberikan.
"Selain itu, pengguna juga boleh menganggarkan kos bil elektrik bulanan pada masa akan datang dengan menggunakan kalkulator tarif elektrik yang dapat dicapai melalui laman sesawang https://myelectricitybill.my/," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!