Lelaki maut, motosikal terbabas masuk ruang solat masjid

Gambar tular yang memaparkan kejadian mangsa maut setelah terbabas ke dalam ruang masjid.
Gambar tular yang memaparkan kejadian mangsa maut setelah terbabas ke dalam ruang masjid.
A
A
A

KULIM - Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas dan memasuki ruang solat di Masjid Guar Lobak, Padang Serai di sini pada pagi Jumaat.

Mangsa berusia 20-an itu dipercayai menunggang motosikal seorang diri ketika kejadian kira-kira jam 5.45 pagi.

Menurut saksi kejadian, Shukri Mohamad yang juga bilal masjid berkenaan, kejadian berlaku selepas sebuah van kilang yang berhenti di pekarangan masjid itu beredar, sebelum tiba-tiba motosikal itu meluru masuk dengan laju dan melanggar tiang dalam masjid.

“Kejadian itu berlaku di depan mata, ketika itu saya baru sahaja sampai di masjid untuk melakukan persiapan melaungkan azan Subuh.

“Ketika itu, sebuah van kilang berhenti di hadapan pintu pagar masjid dan pemandu van itu memaklumkan hendak menggunakan tandas, namun selepas itu dia ingin menutup pintu pagar tetapi saya kata tidak perlu tutup kerana waktu Subuh hampir masuk,” katanya.

Menurut Shukri, sebaik van itu beredar, secara tiba-tiba sebuah motosikal dengan laju datang dari arah Jalan Sidam Kanan dan terus memasuki kawasan masjid.

Katanya, motosikal yang ditunggang lelaki itu merempuh tembok kolah masjid sebelum terbabas ke ruang solat.

"Mangsa terpelanting pada dua tiang di hadapan manakala motosikal pula terjatuh kira-kira tiga meter dari mangsa.

Artikel Berkaitan:

“Saya terus meluru ke arah mangsa, ketika itu ternampak mangsa berlumuran darah dan saya sempat mengajar mangsa mengucap dua kalimah syahadah selain turut dibantu jemaah lain tidak lama kemudian.

"Saya bersama beberapa jemaah lain kemudian membantu menghubungi ambulans serta pihak polis,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!