AWAN minta kerajaan bentang RUU Profesion Kerja Sosial

Antara perwakilan AWAN yang hadir pada Konvensyen AWAN 2023 di Klang hari ini. - Foto Bernama
Antara perwakilan AWAN yang hadir pada Konvensyen AWAN 2023 di Klang hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KLANG - Konvensyen Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Nasional hari ini meluluskan usul meminta kerajaan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Profesion Kerja Sosial pada sesi persidangan Parlimen akan datang.

Usul, yang antara lain meminta kerajaan menubuhkan sistem perkhidmatan kerja sosial profesional, mempromosi status pekerja sosial dan menjamin hak serta kepentingan pihak penerima perkhidmatan itu disokong sebulat suara lebih 500 perwakilan selepas dikemukakan Ahli Jawatankuasa Pimpinan AWAN Nasional Anfaal Saari.

Anfaal yang juga Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor berkata, kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada Mac tahun lepas mengumumkan bahawa rang undang-undang itu di peringkat akhir penggubalan, namun sehingga kini masih gagal dibentangkan di Dewan Rakyat.

Beliau berkata, dengan tergubalnya rang undang-undang itu nanti, kerajaan diharapkan mampu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dengan menjadikan pengambilan pekerja sosial sebagai syarat dalam pemberian geran kepada pihak berkenaan untuk melaksanakan program sosial dan kebajikan.

"Selain itu, kerajaan juga diseru membuat kajian bagi mereformasi institusi kebajikan dan sosial dengan memperuntukkan lebih banyak perbelanjaan dan menggalakkan pertubuhan bukan kerajaan, yayasan atau syarikat korporat untuk melaksanakan program kebajikan dan sosial.

"Dengan itu, kerajaan boleh menumpukan kepada usaha membuat dasar, kawal selia dan penilaian terhadap inisiatif penjagaan itu sendiri,” katanya.

RUU Profesion Kerja Sosial digubal bertujuan mengiktiraf profesion kerja sosial menerusi penubuhan Majlis Profesion Kerja Sosial yang berfungsi untuk mengawal selia profesion kerja sosial melalui pendaftaran dan perakuan amalan pekerja sosial berdaftar.

Selain itu, menetapkan piawaian praktis dan pendidikan kerja sosial, menggalakkan pembangunan profesional serta meningkatkan imej profesion kerja sosial di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, konvensyen tersebut turut meluluskan tiga usul lain yang dibahas dan enam usul tanpa bahas yang akan dibawa ke Konvensyen Amanah Nasional yang diadakan di sini, esok dan Ahad ini. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!