Covid-19: Orang ramai mula kembali amal 'norma baharu'
ISKANDAR PUTERI - Penduduk di sekitar bandar raya ini mengambil langkah berjaga-jaga susulan peningkatan kes Covid-19 di seluruh negeri Johor ketika ini.
Tinjauan Sinar Harian mendapati rata-rata penduduk di sekitar bandar raya ini telah membuat persiapan dengan mendapatkan kit ujian kendiri, pelitup muka (face mask), cecair pencuci tangan (hand sanitizer) dan beberapa peralatan lain sebagai langkah perlindungan diri.
Bagi suri rumah, Amy Tay, 50, dia sudah membeli kit ujian kendiri, pelitup muka dan cecair pencuci tangan sejak minggu lalu.
Katanya, dia turut mengingatkan keluarganya agar sentiasa menjaga kebersihan diri dengan mencuci tangan dengan lebih kerap selain meminta mereka agar meluangkan lebih masa di rumah berbanding di luar rumah.
“Ya, saya ada baca berita kes Covid-19 ini sudah semakin tinggi kat Johor sekarang, jadi saya pun cepat-cepat pergi beli test kit (ujian kendiri) dengan face mask (pelitup muka).
“Sekarang pergi mana-mana pun ramai dah pakai face mask, pakaian yang sesuai untuk jaga kesihatan.
“Semua ini untuk berjaga-jaga sebab dulu pun kita beli juga semua sebab Covid-19 ini dan kali ini kita lebih tahu alat-alat yang perlu dibeli untuk jaga keselamatan diri kita dan juga keluarga,” katanya kepada Sinar Harian.
Bagi kakitangan swasta, Muhammad Zulfikar Abdul Rahim, 39 pula, dia mengamalkan untuk mandi dan membersihkan diri setiap kali pulang dari kerja sebelum menemui keluarga.
Katanya, perkara itu sama seperti yang dilakukannya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini dan malah, ia memberikan keyakinan kepadanya untuk bertemu dan bermesra dengan keluarga selepas pulang dari kerja.
“Macam PKP sebelum ni pun, setiap kali balik kerja, saya akan mandi sebelum berjumpa keluarga. Maklum sahajalah, saya ada anak kecil.
“Benda-benda lain macam face mask, hand sanitizer tu pun saya beli. Walaupun yang sebelum ini masih ada, namun saya tetap beli sebagai langkah berjaga-jaga.
“Manalah tahu, kalau benda-benda ni habis di pasaran sekurang-kurangnya kita masih ada bekalan untuk diri dan keluarga kita sendiri,” katanya.
Sementara itu bagi peniaga runcit, Muhammad Ashraf Abdul Majeed, 26, dia mula mengamalkan kembali langkah-langkah pencegahan seperti kerap membasuh tangan, pakai pelitup muka, tidak berada di tempat sesak, penjarakan sosial dan lain-lain berikutan peningkatan kes Covid-19 ketika ini.
Malah katanya, premis perniagaannya juga ada menjual peralatan seperti kit ujian kendiri, pelitup muka hand sanitizer dan lain-lain untuk kemudahan orang ramai.
“Semua peralatan itu ada saya jual, tapi tak banyaklah macam di farmasi-farmasi kerana setiap kali barangan tersebut sampai, ia pasti habis dibeli. Sampai sahaja habis dibeli.
“Saya juga nasihatkan orang ramai supaya selalu menjaga kebersihan diri dan juga kawasan sekitar seperti di rumah, pejabat dan di mana-mana sahaja,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!