Jangan guna ejen bagi dapatkan import

Ismail Zakaria
Ismail Zakaria
A
A
A

MAJORITI pasukan di saingan Liga Malaysia (Liga-M) boleh melakukan penjimatan yang banyak dalam soal pengurusan kewangan jika tidak terlalu bergantung 100 peratus kepada khidmat ejen dalam mendapatkan pemain import.

Perkara berkenaan didedahkan jurulatih berpengalaman, Ismail Zakaria, yang menceritakan pengalamannya ketika berjaya memburu beberapa pemain import yang berkualiti seperti Patrick Wleh Ronaldinho, Karlo Primorac dan Dilshod Sharofetdinov ketika bersama Sime Darby dari 2010 hingga 2015.

Menurut Ismail, beliau sentiasa melakukan pemantauan sendiri dengan melihat secara langsung para pemain yang ditandatangani malah dia turut melakukan penyelidikan mendalam mengenai soal pemberian gaji.

Malah beliau bersetuju ini boleh jadi modul terbaik kepada mana-mana pasukan jika mahu mengawal perbelanjaan seiring dengan pelaksanaan Program Kawalan Ekonomi (ECP) yang bermula musim 2020.

“ Pesanan saya jika ada pasukan mahu ambil langkah berjimat cermat dalam soal pengurusan kewangan pemain, mereka jangan terlalu bergantung kepada khidmat ejen.

“Semasa saya di Sime Darby dahulu, saya sendiri terbang ke Liberia serta melihat dengan kepala mata sendiri aksi pemain-pemain di sana dan meluangkan masa 10 hari sebelum dapatkan Patrick, bukan sahaja kami bayar gajinya kurang AS$7,000 (RM28,650) tetapi dia juga merupakan pemain kebangsaan negaranya.

“Begitu juga ketika kami dapatkan Primorac, saya ke Croatia selama lapan hari bagi melalukan pemantauan dan kami bayar juga tidak terlalu mahal iaitu sesuai dengan bajet kami letakkan.

“Malah saya terus lakukan perbincangan secara terus di sana tanpa babitkan orang tengah dan keduanya, pilihan saya banyak dan ini memudahkan saya boleh dapatkan betul-betul pemain berkualiti, jika guna khidmat ejen, pilihannya mungkin agak terhad serta mahal, ” katanya.

Artikel Berkaitan:

Bukannya mahu menidakkan peranan ejen selain tidak nafikan ada antara mereka yang bersikap jujur, Ismail akui, cara ini paling bersesuaian jika mereka tidak mahu terperangkap dengan risiko gagal dapatkan pemain yang mereka mahukan selain selalunya ‘hanya indah khabar dari rupa’.

Apa yang mustahak, Ismail menyeru jurulatih atau pengurusan setiap pasukan jangan membuat keputusan di saat akhir serta tidak tergesa-gesa dalam tandatangani mana-mana pemain import.

“Tiap pasukan pasti ada pengarah teknikal atau jurulatih itu sendiri yang boleh cari masa ke luar negara serta tidak perlu ramai bagi jimatkan kos pengurusan," katanya.

“ Mereka boleh lakukan pemantauan sendiri dan jika tiap pasukan boleh lakukan perancangan awal sebaik musim berakhir, isu pemain import kurang menjadi tidak akan timbul.

“ Soalnya, jika mereka gopoh serta ada budaya ‘last minute’, maka risiko pembaziran dengan dapatkan pemain import tidak berkualiti, pasti akan timbul.

“Di dalam era ECP ini, sudah pasti kesedaran pasukan agak tinggi untuk berbelanja secara berhemah dan mereka perlu lakukan kaji selidik yang lebih mendalam dalam soal pemain import termasuk tempatan yang mereka mahu dapatkan, “ katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!