Jalan Pasar Pudu lubuk ikan hiasan

Kebanyakan harga ikan hiasan yang dijual lebih murah antara 20 hingga 30 peratus berbanding lokasi lain. Foto: Bernama
Kebanyakan harga ikan hiasan yang dijual lebih murah antara 20 hingga 30 peratus berbanding lokasi lain. Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Di sebalik kesibukan Jalan Pasar Pudu yang sinonim sebagai hab barangan elektrik dan barangan basah di tengah-tengah ibu kota, ia juga menjadi ‘lubuk’ peminat ikan hiasan pada harga jauh lebih murah termasuk spesies sukar dijumpai.

Kebanyakan harga ikan hiasan dijual lebih murah antara 20 hingga 30 peratus berbanding lokasi lain, sekali gus Jalan Pasar Pudu terus menjadi tumpuan hingga ada peniaga ikan hiasan mampu bertahan selama empat dekad.

Amir Wafi Hussain, 36, menunjukkan ikan yang dibelinya di Jalan Pasar Pudu. Foto: Bernama
Amir Wafi Hussain, 36, menunjukkan ikan yang dibelinya di Jalan Pasar Pudu. Foto: Bernama

Ikan betta galaxy koi misalnya dijual pada harga antara RM50 hingga RM60 seekor di tempat lain, namun boleh diperoleh pada harga serendah RM15 hingga RM20 seekor sahaja, begitu juga ikan emas kecil yang dijual pada harga RM4.

Jalan Pasar Pudu menjadi lubuk peminat ikan hiasan kerana harga jualan jauh lebih murah termasuk bagi mereka yang mencari spesies sukar dijumpai. Foto: Bernama
Jalan Pasar Pudu menjadi lubuk peminat ikan hiasan kerana harga jualan jauh lebih murah termasuk bagi mereka yang mencari spesies sukar dijumpai. Foto: Bernama

Artikel Berkaitan:

Tinjauan mendapati kebanyakan pelanggan yang melalui kawasan di situ tertarik dengan keunikan warna ikan hiasan yang diletakkan di dalam beberapa baldi di kaki lima kedai dan juga dalam bungkusan plastik yang ditandakan harga.

Antara ikan hiasan yang mendapat permintaan tinggi ialah pelbagai jenis ikan laga, ikan gupi, ikan molly, ikan air tawar seperti lampam dan tengas, koi, bayan, ikan emas serta kelisa.

Ikan hiasan dipamerkan di dalam bekas untuk dijual kepada pelanggan. Foto: Bernama
Ikan hiasan dipamerkan di dalam bekas untuk dijual kepada pelanggan. Foto: Bernama

Mewarisi daripada bapanya, Marcus Low, 31, berkata, perniagaan ikan hiasan milik keluarganya itu yang bermula di tepi Jalan Pasar Pudu akhirnya memiliki kedai sendiri selama 40 tahun dan terus bertahan hingga hari ini.

“Lokasi ini menjadi pilihan peminat ikan hiasan kerana boleh membuat perbandingan harga dengan kedai sekitar dan peniaga pula akan berlumba-lumba memberikan tawaran harga munasabah untuk menarik pelanggan,” katanya kepada Bernama.

Jalan Pasar Pudu bukanlah asing bagi peminat ikan hiasan khususnya yang tinggal sekitar di Lembah Klang. Foto: Bernama
Jalan Pasar Pudu bukanlah asing bagi peminat ikan hiasan khususnya yang tinggal sekitar di Lembah Klang. Foto: Bernama

Bagi pembantu kedai, Steven Chong, 47, biasanya jumlah pelanggan akan bertambah dua kali ganda pada hari cuti umum dan hujung minggu.

Menurut Steven, bekalan ikan hiasan diperoleh daripada pembekal tempatan, manakala aksesorinya diimport dari China.

Jalan Pasar Pudu umpama lubuk bagi mereka mendapatkan pelbagai jenis ikan hiasan pada harga yang murah dan berpatutan. Foto: Bernama
Jalan Pasar Pudu umpama lubuk bagi mereka mendapatkan pelbagai jenis ikan hiasan pada harga yang murah dan berpatutan. Foto: Bernama

“Di kedai ini terdapat puluhan spesies ikan hiasan dan pelanggan boleh mendapatkannya serendah RM1 hingga ribuan ringgit bergantung kepada spesies, kualiti, kecantikan dan saiz.

“Perniagaan kami beroperasi setiap hari bermula jam 8.30 pagi,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!