Pesona ais, dunia salji kota Harbin
HARBIN - Festival Arca Ais dan Dunia Salji Antarabangsa Sun Island Harbin kali ke-39 dimulakan awal minggu ini di Harbin, ibu kota wilayah Heilongjiang yang terletak di bahagian paling utara China.
Lebih 1,000 landskap dan arca ais termasuk pelbagai kemudahan yang menghiburkan seperti gelongsor ais menawarkan pengunjung dengan pertembungan antara seni serta alam semula jadi yang tidak dapat dilupakan.
Malah, lampu berwarna-warni dipasang di dalam arca ais menjadikan ia kelihatan sangat cantik dalam gelap selepas matahari terbenam.
Sejak beberapa tahun lalu, Harbin yang turut digelar sebagai bandar ais telah memanfaatkan sumber beku uniknya bagi tujuan pembangunan dan menyaksikan pertumbuhan pesat terhadap ekonomi ais serta salji.
Semasa musim sejuk, Harbin akan mendapat angin sejuk yang bertiup dari Siberia, Rusia menyebabkan ia mengalami suhu serendah negatif 19 darjah Celsius.
Difahamkan Festival Arca Ais dan Dunia Salji Antarabangsa Sun Island Harbin telah diadakan setiap tahun sejak ia bermula pada 1985 dan kini dianggap sebagai salah satu pameran struktur ais terbesar di dunia.
Festival itu juga telah berkembang menjadi perayaan budaya, dengan lagu-lagu dan tarian rakyat tradisional turut dipersembahkan.
Walaupun tiket masuk dikenakan pada harga yang tinggi, penjualan tiket tidak pernah menghampakan dan ia dikatakan banyak menyumbang kepada pendapatan tahunan Harbin.
Ia biasanya berlangsung pada pertengahan Disember hingga awal Februari tetapi tarikh yang tepat berbeza-beza bergantung kepada keadaan cuaca.
Maka, tidak hairanlah Harbin menjadi destinasi pilihan pelancong domestik dan antarabangsa untuk menyaksikan keindahan syurga ais serta salji pada musim sejuk. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!