Gemilang City dakap trofi kelima
MANCHESTER City membuktikan mereka berada dalam kelas tersendiri apabila mendakap trofi Piala Dunia Kelab setelah menumpaskan Fluminense 4-0 dari Brazil dalam aksi final di Jeddah awal pagi Sabtu.
Kejayaan itu sekali gus menyempurnakan musim gemilang The Citizens menerusi gelaran kelima pada musim ini.
City yang dibimbing Pep Guardiola sudah memiliki koleksi trofi Liga Perdana Inggeris (EPL), Piala FA, Liga Juara-Juara dan Piala Super UEFA tahun ini.
Kemenangan itu menjadikan Guardiola pengurus pertama mengemudi tiga kelab berbeza memenangi Piala Dunia Kelab, menang bersama Barcelona pada tahun 2009 dan 2011 kemudian Bayern Munich pada 2013.
Kapten City, Kyle Walker menyifatkan kejayaan merangkul trofi itu sebagai melengkapkan musim penuh menakjubkan sekali gus mengesahkan status sebagai kelab terbaik dunia ketika ini.
"Memenangi lima trofi terbesar ini sebagai sesuatu yang luar biasa. Saya bangga untuk menjadi sebahagian daripada skuad ini.
"Sejujurnya ia satu penghormatan untuk bermain di samping rakan sepasukan ini, saya tidak boleh tuntut lebih lagi daripada mereka.
"Ia terlalu sukar untuk menang secara konsisten, jadi untuk berdiri di sini dengan menang lima kejuaraan sangat istimewa dan satu pencapaian besar," katanya.
Dalam aksi itu, Julian Alvarez meledak jaringan paling pantas apabila hanya memerlukan 40 saat selepas sepak mula untuk mencetak gol setelah dia menyudahkan bola muntah penjaga gol, Fabio yang menumbuk keluar percubaan jarak jauh Nathan Ake.
The Citizens mengandakan gol selepas Nino menyumbat gol sendiri pada minit ke-27 apabila dia tertampan masuk rembatan Phil Foden.
Foden memastikan lawan tidak mampu bangkit dengan gol ketiga pada minit ke-72, Alvarez kemudian mengesahkan kemenangan City apabila menghasilkan jaringan keempat pada minit 88.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!