Amanah tolak politik identiti - Mohamad Sabu
KLANG - Parti Amanah Negara (Amanah) menolak sebarang diskriminasi kaum minoriti atau ‘politik identiti’ seperti yang dianjurkan pembangkang kerana ia boleh memecahbelahkan rakyat di negara ini.
Presidennya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pendekatan politik mengadu domba, Islam terabai atau terancam perlu ditentang sepenuhnya.
Malah katanya, ketika ini juga bergema dakwaan di masjid dan surau bahawa Islam diserang dan Cina akan mengambil alih Malaysia dengan tujuan untuk mewujudkan kebimbangan tidak berasas.
“Apabila pegangan agama secara melampau (ghuluw), bergandingan dengan politik perkauman yang seolah-olah lupa akan sifat kepelbagaian budaya dan kemajmukan etnik negara-bangsa ini.
“Negara akan berterusan dalam berkeberantakan serta konflik perebutan kuasa politik dengan mengambil corak dan orientasi identiti politik yang amat toksik, ekstrem dan jumud.
“Agama dan kaum etnik adalah dua identiti yang paling mudah disalahgunakan dan ditunggang, sebagai modal atau kapital politik, sekaligus membawa natijah buruk fenomena serta gejala takfiri atau mudahnya mengkafir lawan politik sebagai tidak Islam atau kurang Islam berbanding mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Pidato Presiden sempena Konvensyen Nasional Amanah 2023 di salah sebuah hotel di sini pada Sabtu.
Turut hadir, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke; Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil; dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, menyedari akan kerencaman serta saling bersilang pelbagai tuntutan agama, budaya dan kaum, partinya mengambil pendekatan memperjuangkan pegangan ideologi secara progresif dan inklusif seperti disepakati dalam piagam Pakatan Harapan (PH).
“Saya berkeyakinan Amanah mempunyai peranan masa depan dan potensi yang besar untuk terus bersama-sama mengemudi negara bersama-sama rakan dalam PH dan mutakhir ini dalam Kerajaan Perpaduan bersama BN.
“Hanya mereka yang benar-benar insaf tentang peri pentingnya menjaga kestabilan politik serta keharmonian kaum dan budaya, akan mengambil jalur ‘sentrist’, moderat dan progresif dalam penganjuran serta advokasi ideologi masing- masing,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!