Kartel makanan ayam: Bekalan tidak terjejas, sentiasa cukup - Mat Sabu
KLANG - Bekalan bahan mentah di pasaran terutama ayam tidak terjejas meskipun Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mengenakan penalti terhadap lima syarikat ekoran pembentukan kartel penetapan harga makanan ayam.
Malah Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu memberi jaminan bekalan ayam, telur serta bahan mentah lain mencukupi sepanjang musim perayaan sehingga Aidilfitri tahun depan.
“Insya-ALLAH ada, cukup dan sentiasa ada (bekalan bahan mentah). KPKM (Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan) dan KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) sentiasa bekerjasama untuk menghadapi musim perayaan, yang terdekat Krismas, Tahun Baru Cina (Febuari 2024), kemudian Ramadan dan Aidilfitri (April 2024).
“Kita mahu pastikan supaya telur, ayam dan keberadaan dua benda itu. Harga dan manipulasi ditentukan oleh KPDN. Saya tidak boleh komen (kerana) bukan di bawah kuasa kementerian saya,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Nasional Parti Amanah Negara (Amanah) 2023 di sini pada Sabtu.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, MyCC mengenakan penalti berjumlah sekitar RM415.5 juta kepada lima syarikat kerana melanggar Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 (Akta 712) melalui pembentukan kartel penetapan harga makanan ayam.
Hasil siasatan MyCC sejak Januari 2020 hingga Mac 2022 mendapati terdapat potensi gangguan pasaran makanan ayam dengan pelbagai bukti dalam bentuk pengumuman harga, corak harga dan komunikasi dalam kalangan perusahaan.
Dalam pada itu Mohamad yang juga Presiden Amanah menjelaskan, tanggungjawab memeriksa serta menentukan harga bahan mentah di pasaran terletak dalam bidang kuasa KPDN dan pihaknya tidak terlibat dengan perkara itu.
Namun beliau menegaskan, KPKM sentiasa memberi kerjasama dengan semua kementerian yang berkaitan dalam menyalurkan maklumat.
“Harga dan manipulasi ditentukan oleh KPDN. Kita beri kerjasama, tidak bergerak secara silo.
"Semua kementerian bekerjasama dalam menangani keterjaminan makanan,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!