Jawatan Presiden: Mat Sabu serah nasib kepada 27 pimpinan parti
KLANG - Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu menyerahkan sepenuhnya kepada 27 pimpinan yang akan dipilih perwakilan untuk menentukan barisan baharu kepimpinan parti.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Raja turut menjelaskan, tidak mempunyai 'kem' atau pembentukan pasukan tertentu untuk memberi sokongan kepadanya kekal menerajui Amanah.
"Saya tidak ada kem. (Pemimpin dipilih) Akan lihat siapa yang berupaya mengemudi parti masa depan. Ada 27 pemimpin, kalau pilih siapa pun, ahli parti akan terima pasukan yang diumumkan petang esok (Ahad).
"Dalam parti politik, kena terima siapa sahaja yang dipilih oleh ahli dan pimpinan ahli. Kita serah kepada mereka untuk tentukan kedudukan.
"Saya tidak tahu (dipilih semula atau tidak). Setiap hari hanya pergi pejabat, tengok telur ayam dan padi," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Nasional Amanah 2023 di sini pada Sabtu.
Amanah yang menjangkau usia lapan tahun akan mengadakan sesi pemilihan kepimpinan parti petang Ahad sebaik berakhir konvensyen menerusi undian dalam talian.
Sementara itu Setiausaha Agung Amanah, Datuk Dr Mohd Hatta Ramli memaklumkan, lebih 1,000 perwakilan layak memilih 27 dari 102 pemimpin yang sudah mencalonkan diri sebelum ini.
"Kita akan mengundi sekitar jam 4 hingga 5 petang. Selepas undian ditutup, kita akan dapat keputusan (27 pemimpin yang dipilih).
"Kemudian 27 pemimpin dan tiga pemimpin sayap akan mengadakan perbincangan, dipengerusikan oleh pengerusi tetap untuk menentukan 'top five' iaitu seorang presiden dan timbalan presiden serta tiga naib presiden," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!