Perak FC sambar Kaka
IPOH - Perak FC berjaya mendapatkan pemain tengah pasukan kebangsaan bawah 23 tahun, Nur Azfar Fikri Azhar bagi mengharungi Liga Malaysia musim depan.
Perkara itu diumumkan sendiri pihak pengurusan pasukan menerusi laman sosial Perak FC pada Sabtu.
Muhammad Nur Azfar sebelum ini pernah mencipta sensasi selepas meledak gol kemenangan skuad bawah 23 negara ke atas Thailand dalam aksi pertama kumpulan ketika kejohanan Sukan SEA tahun 2021.
"Pemain Tengah, Azfar Fikri sah menjadi milik Perak FC bagi musim 2024/2025.
"Kaka sebelum ini pernah menjadi hero bagi pasukan Malaysia bawah 23 tahun dan kini menjadi taruhan terbaru skuad The Bos Gaurus.
"Selamat datang ke keluarga Perak FC Yob Kaka!" jelas kenyataan dalam satu hantaran di Facebook Perak FC itu pada Sabtu.
Sementara itu, dalam temubual oleh saluran YouTube TBG TV, Muhammad Nur Azfar, 23, menyatakan hasrat untuk membantu Perak FC berada di dalam kedudukan terbaik musim hadapan.
Anak muda berasal dari Kualau Lumpur itu merupakan bekas pemain Terengganu FC II yang beraksi dalam saingan Piala Malaysia Football League (MFL).
"Dah tentu nak (keputusan) lebih baik daripada tahun ini mungkin dari segi liga boleh meningkat.
"Kita sasarkan menjadi pasukan 5 atau 6 yang terbaik. Kita akan buat yang terbaik tahun depan," katanya.
Muhammad Nur Azfar menjadi pemain kedua terbaharu yang dibawa masuk ke dalam skuad bimbingan Yusri Che Lah musim depan selepas Perak FC mengumumkan kehadiran bekas bek kiri Negeri Sembilan FC, Tommy Mawat Bada pada 22 Disember lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!