Abang Johari beri jaminan tutup episod tebuk atap, kata PM
PUTRAJAYA - Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberikan jaminan menutup episod usaha untuk menukar sokongan dan menumbangkan kerajaan yang ada pada hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Abang Johari turut mengulangi pendirian tegas dan tidak akan bertolak ansur untuk mengekalkan Kerajaan Perpaduan sehingga pilihan raya umum akan datang.
Jelas beliau, Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu juga mendedahkan tentang usaha pihak tertentu untuk menarik sokongan bagaimanapun beliau menolak perkara itu dengan tegas.
"Secara konsisten selama setahun, mereka (GPS) tegas. Kalau ada pun percubaan tebuk atap ini akan hanya berasas sekiranya ada peluang yang diberikan kedua-dua negeri itu (Sabah dan Sarawak).
"Tetapi secara konsisten, semalam kita berbicara panjang dan beliau mahu menutup episod ini sama sekali.
"Saya nak sampaikan bahawa kes kemungkinan tebuk atap kalau nak digunakan menerusi dukungan Sabah Sarawak itu, ini bermakna ia telah terbatal dengan sendirinya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Dialog Perdana Menteri bersama Ketua Pengarang serta Pengarang-Pengarang Kanan Media Elektronik, Media Cetak dan Dalam Talian di sini pada Sabtu.
Terdahulu pada Jumaat, Anwar menerima kunjungan Abang Johari yang menyaksikan kedua-dua pihak bersetuju memperkukuh kerjasama antara kerajaan negeri dan Persekutuan.
Menerusi catatan di Facebooknya, pertemuan empat mata itu menyentuh antara lain mengenai kerjasama dalam bidang tenaga hijau serta peluang pelaburan baharu yang meningkat di negeri itu dan Semenanjung.
Dalam masa yang sama, turut tular dakwaan individu tertentu yang merupakan pempengaruh pro pembangkang menerusi platform X yang mengatakan dijangka tumbang dan satu pengumuman rasmi akan dibuat pada jam 3 petang.
Bagaimanapun, perkara itu tidak berlaku dan difahamkan ia hanyalah sekadar dakwaan palsu yang sering dibangkitkan dan dimainkan oleh pempengaruh tersebut sejak beberapa bulan lalu.
Untuk rekod, blok kerajaan perpaduan kini mempunyai sebanyak 151 daripada 222 kerusi, menjadikannya sebagai jumlah yang selesa dua pertiga di Dewan Rakyat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!