Ikram lanjut tempoh penyertaan pertandingan video pendek rasuah
SHAH ALAM - Penyertaan pertandingan video pendek dengan tema ‘Bersatu Menentang Korupsi’ sempena Bulan Integriti dan Hari Anti Rasuah Antarabangsa 2023 (HARA 2023) dilanjutkan sehingga 28 Disember depan.
Pegawai Eksekutif Penyelidik dan Advokasi, Jabatan Agenda Nasional, Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Anas Hasbullah berkata, keputusan tersebut dibuat atas permintaan ramai yang meminta untuk melanjutkan tempoh penyertaan.
“Semalam (Jumaat) merupakan tarikh tutup penyertaan tetapi ada lebih daripada 10 orang peserta menghubungi ahli jawatankuasa (AJK) pihak penganjur dan meminta kami untuk memanjangkan tempoh pertandingan.
“Melihat kepada sambutan yang menggalakkan daripada segenap lapisan masyarakat, kami (pihak penganjur) sebulat suara bersetuju untuk melanjutkan tempoh penyertaan bagi membolehkan lebih ramai dapat menyertai pertandingan ini,” katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Dalam pada itu, Anas memaklumkan, tempat pertama akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM1,500 manakala tempat kedua berjumlah RM1,000, ketiga (RM700), keempat (RM500), kelima (RM300) dan saguhati (RM100) diberikan kepada 10 peserta.
Menurutnya, peserta yang memaparkan kreativiti dengan jalan penceritaan tentang rasuah dan integriti yang menarik akan dipilih menjadi pemenang.
Tambah beliau, kini pihak penganjur dalam proses penilaian video dan pengumuman pemenang akan dibuat pada 30 Disember.
“Tujuan pertandingan video pendek ini diadakan bertujuan untuk melihat kefahaman masyarakat tentang jenayah rasuah. Setakat ini, kami telah menerima lebih 70 penyertaan dan boleh dikatakan kesemua peserta memahami makna rasuah.
“Menariknya, pertandingan ini juga bukan sahaja disertai oleh golongan dewasa tetapi kanak-kanak tidak ketinggalan untuk bersama-sama berkongsi kreativiti mereka dalam menolak rasuah,” ujarnya.
Pertandingan berkenaan merupakan anjuran bersama Ikram, Ikram Muda Malaysia, Sinar Harian, Ajar Demokrasi dan Persatuan Profesional Kewangan Muslim Malaysia (MFP).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!