Tiga lelaki Rohingya geng samun, pecah rumah ditembak mati

Hussein (dua dari kiri) menunjukkan pistol yang dirampas.
Hussein (dua dari kiri) menunjukkan pistol yang dirampas.
A
A
A

GOMBAK - Tiga ahli Geng Rantau Fiesta yang dipercayai aktif dalam kegiatan samun dan pecah rumah, mati ketika berbalas tembakan dengan polis di Selayang Jaya, di sini, pada Sabtu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kesemua suspek lelaki etnik Rohingya berusia 30-an itu terbabit dalam 27 kes samun dan pecah rumah di Selangor sejak Januari lalu membabitkan kerugian RM1.3 juta itu, ditembak kira-kira jam 12.30 tengah malam.

"Sepasukan polis yang melakukan rondaan terserempak sebuah kereta jenis Ford Fiesta yang dinaiki kesemua suspek dalam keadaan mencurigakan.

"Suspek kemudian bertindak agresif dengan melepaskan tiga das tembakan ke arah anggota polis, selepas insiden tembak menembak, kita mendapati kesemua suspek berlumuran darah dan meninggal dunia," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, di sini, pada Sabtu.

Hussein berkata, pemeriksaan lanjut mendapati dua pucuk pistol jenis Revolver dan sebilah parang.

"Pemeriksaan juga mendapati, dua daripada suspek memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR).

"Salah seorang daripada suspek mempunyai 12 rekod jenayah lampau dan pernah dipenjarakan pada 2016 dan 2017 atas kesalahan pecah rumah," katanya.

Keadaan di lokasi kejadian di Selayang. - Foto ihsan pembaca
Keadaan di lokasi kejadian di Selayang. - Foto ihsan pembaca

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kumpulan itu dipercayai aktif melakukan jenayah sejak 2011 di enam negeri antaranya Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur, Pahang dan Pulau Pinang.

"Modus operandi kumpulan yang Bersenjata api itu adalah memecah masuk rumah yang tidak berpenghuni.

"Kita tidak menolak kemungkinan kumpulan itu merancang untuk memecah masuk rumah di sekitar Selayang malam tadi, sebelum terserempak dengan anggota polis yang melakukan rondaan," katanya.

Hussein berkata, kes jenayah terkini yang dilakukan oleh kumpulan tersebut di Hulu Selangor, pada 8 Disember lalu.

"Suspek melarikan tiga utas jam tangan Rolex serta wang tunai yang membabitkan kerugian lebih RM400,000," katanya.

Hussein berkata, pihaknya sedang memburu saki baki kumpulan penjenayah itu.

"Kita juga dalam proses mengesan semula barang yang dicuri kumpulan penjenayah itu, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!