Bomba jalan kaki sejam usung remaja cedera daki bukit

Pasukan bomba berjaya membawa turun salah seorang remaja yang terseliuh ketika mendaki Bukit 300, Teluk Batik pada Sabtu. - Foto ihsan Bomba Perak
Pasukan bomba berjaya membawa turun salah seorang remaja yang terseliuh ketika mendaki Bukit 300, Teluk Batik pada Sabtu. - Foto ihsan Bomba Perak
A
A
A

LUMUT- Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang terseliuh ketika mendaki Bukit 300 dekat Teluk Batik berjaya dibawa turun dengan bantuan bomba pada Sabtu.

Difahamkan mangsa bersama dua rakan sebayanya mendaki bukit berkenaan sekitar jam 9 pagi sebelum dipercayai tersesat akibat tersalah laluan.

Semasa pendakian, salah seorang daripada mereka telah terseliuh di kaki kanan menyebabkan bantuan pasukan penyelamat dihubungi bagi membawa turun mangsa.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Seri Manjung, Ismadi Darusman berkata, sepasukan 11 anggota diatur gerak ke lokasi selepas menerima panggilan pada jam 1.37 petang.

Mangsa dibawa ke Hospital Seri Manjung bagi mendapatkan rawatan oleh pasukan EMRS bomba. - Foto ihsan bomba
Mangsa dibawa ke Hospital Seri Manjung bagi mendapatkan rawatan oleh pasukan EMRS bomba. - Foto ihsan bomba

"Pasukan anggota dibahagikan kepada dua kumpulan untuk mencari ketiga-tiga mangsa yang berjaya dihubungi menerusi panggilan telefon.

"Selepas sejam pendakian, pasukan menemui kumpulan remaja terbabit dan rawatan awal diberikan kepada mangsa sebelum dibawa turun menggunakan pengusung," katanya ketika dihubungi di sini.

Menurut beliau, anggota berjalan sejauh 2.1 kilometer selama sejam dengan bergilir-gilir mengusung mangsa.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa berjaya dibawa turun dengan selamat sebelum diserahkan kepada pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

"Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Seri Manjung untuk rawatan lanjut. Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.30 petang," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!