Anwar selar tindakan pembangkang takut-takutkan orang Melayu
PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar tindakan parti pembangkang yang cuba menakut-nakutkan orang Melayu sehingga mempunyai perasaan rendah diri.
Jelas beliau, antara tuduhan melampau yang dibangkitkan oleh pihak tersebut ialah negara kini dikuasai oleh orang Cina dan DAP.
"Baru-baru ini dibangkitkan tentang pinda perlembagaan supaya seorang perdana menteri itu haruslah seorang Melayu.
"Pada saya, kalau anak-anak kita esok, 20 tahun akan datang mahu pinda, mereka boleh pinda... cuma sekarang tidak ada calon yang dikemukakan bukan Melayu sebagai perdana menteri. Jadi apa isu dia?
"Keduanya, pilihan raya pihak berkuasa tempatan. Memang kita bincangkan, ini sampai bincang pun tak boleh, pada saya boleh bincang.
"Tetapi setakat ini jemaah menteri belum buat sebarang keputusan, belum sampai lagi ke situ, belum dibincangkan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika Sesi Dialog Perdana Menteri bersama Ketua Pengarang serta Pengarang-Pengarang Kanan Media Elektronik, Media Cetak dan Dalam Talian di sini pada Sabtu.
Baru-baru ini, Veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang menyentuh kemungkinan orang bukan Melayu dilantik sebagai perdana menteri ketika berucap di hadapan pelajar Malaysia di Manchester.
Jelasnya, Perlembagaan Malaysia pada 1957 mahupun selepas dipinda pada 1963 ketika Malaysia dibentuk, tidak menyekat mana-mana orang bukan Melayu daripada menjadi perdana menteri.
Kenyataan itu mengundang reaksi negatif daripada pembangkang sehingga Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mencadangkan supaya Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi membolehkan hanya orang Melayu boleh menjadi perdana menteri.
Kontroversi timbul lagi apabila Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan, Tan Kok Wai mencadangkan kepada kerajaan supaya memulakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kuala Lumpur.
Mengulas lanjut mengenai tindakan pembangkang itu, Anwar menegaskan, orang Melayu tidak sepatutnya mempunyai pemikiran rendah diri dan tertutup kerana semua peringkat kepimpinan di negara ini dikuasai oleh kaum tersebut.
"Kita majoriti, Melayu masih ada kekuatan dengan Raja Melayu, perdana menteri dan menteri besar, semuanya... Jadi mengapa ditanam seolah Melayu dalam perasaan takut.
"Yang perlu ditanam dalam pemikiran orang Melayu ialah cungkil bakal dan beri keyakinan supaya orang Melayu perlu lebih rajin, kuat dan bersaing lebih baik. Itu cabaran kita," kata beliau.
Dalam pada itu, perdana menteri berkata, beliau turut mengelak daripada memberikan tazkirah di masjid kerana tidak mahu timbul sebarang tohmahan daripada mana-mana pihak.
Jelas beliau, ia juga adalah selaras dengan titah Raja-Raja Melayu yang tidak membenarkan masjid digunakan oleh parti-parti politik tertentu untuk tujuan yang lain.
"Sebab itu saya ke selalu ke masjid pada hari Jumaat, ada imam dan pengerusi masjid minta saya sampaikan tazkirah tapi saya elak kerana ini akan beri ruang orang lain kata, kalau Anwar boleh mengapa orang lain tak boleh walaupun saya seorang perdana menteri.
"Tetapi saya mahu elak tohmahan sebegini, seolah kita diizinkan dan orang lain tidak dibolehkan jadi ini kebimbangan saya," ujar beliau.
@sinarharianonline Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar tindakan parti pembangkang yang cuba menakut-nakutkan orang Melayu sehingga mempunyai perasaan rendah diri. Jelas beliau, antara tuduhan melampau yang dibangkitkan oleh pihak tersebut ialah negara kini dikuasai oleh orang Cina dan DAP. #fyp#SinarHarian#AnwarIbrahim#Pembangkang#OrangMelayu#DAP original sound - Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!