'Keutamaan pada 2024 ialah ekonomi, ekonomi dan ekonomi' - PM
PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa keutamaan kerajaan pada tahun depan ialah mengukuhkan kedudukan ekonomi negara dan bidang pendidikan.
"Keutamaan kita untuk tahun 2024 tentunya ekonomi, ekonomi dan ekonomi," katanya ketika berucap dalam Sesi Dialog Perdana Menteri bersama Ketua Pengarang serta Pengarang-Pengarang Kanan Media Elektronik, Media Cetak dan Dalam Talian di sini pada Sabtu.
Jelas beliau, selain perubahan dan anjakkan yang besar dari segi peralihan tenaga, ia turut melibatkan bidang pendidikan negara terutama penguasaan bahasa Melayu dan Inggeris.
"Kalau kita biarkan keadaan itu berterusan, penguasaan bahasa Melayu mungkin dapat kita pertahankan walaupun tidak dipertingkatkan lebih tinggi, (tetapi) penguasaan bahasa Inggeris pula kian terhakis.
"Jadi ini harus kita betulkan melalui sistem pendidikan dan harus kita lakukan dengan tegas," ujar beliau.
Dalam sesi yang diadakan selama satu jam 44 minit itu, Perdana Menteri turut diminta untuk mengulas lanjut mengenai hala tuju ekonomi negara berkata, kerajaan akan memberikan tumpuan kepada pelaburan domestik dan antarabangsa.
"Kita mahu fokus kepada kekuatan ekonomi sama ada pelaburan domestik, pelaburan luar.
"Jadi ini ada kaitan dengan tatakelola, kecepatan, pengurusan dan mengurangkan karenah birokrasi," ujar beliau.
Sehubungan itu, beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan juga mahu menumpukan kepada latihan dan penguasaan dalam bidang teknologi kecerdasan buatan (AI).
"Ekonomi ada kaitan dengan isu yang saya sebutkan ini, latihan, penguasaan bahasa, fungsi AI. Apabila sebut latihan, program pendidikan (ini melibatkan) institut pengajian tinggi dan TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional)," jelas beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!