Bowen, Kudus buat United 'terciduk' di London
GOL babak kedua Jarrod Bowen dan Mohammed Kudus memberikan West Ham United kemenangan 2-0 ke atas Manchester United dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris di Stadium London pada Sabtu.
Tiga mata diraih anak buah David Moyes itu membolehkan The Hammers yang dibelasah 1-5 Liverpool dalam kempen Piala Liga pertengahan minggu lalu mengumpul 30 mata selepas 13 perlawanan.
Sementara itu, The Red Devils dipacu Erik Ten Hag, yang tidak menjaringkan gol dalam empat perlawanan terakhir dalam semua pertandingan, kekal dengan 28 mata selepas mengharungi 13 perlawanan.
Separuh masa pertama kedua-dua pasukan gagal menampilkan permainan berkualiti menyaksikan peluang terbaiknya hanya hadir menerusi Alejandro Garnacho pada minit ke-35.
Namun percubaan pemain sayap kelahiran Argentina berusia 19 tahun itu terus ke arah penjaga gol The Hammers, Alphonse Areola.
Separuh masa kedua, Bowen hampir membuka jaringan dengan tandukan hasil sentuhan James Ward-Prowse, namun percubaannya diselamatkan Onana.
Bowen, pemain sayap akhirnya memecah kebuntuan untuk gol liga ke-11 musim ini pada minit ke-72 sebelum Paqueta kemudian memanfaatkan kesilapan Kobbie Mainoo yang diterjemahkan Kudus bagi menewaskan Onana untuk tiga mata tuan rumah.
Ini merupakan kekalahan kelapan liga untuk United seterusnya memberi tekanan kepada Ten Hag.
Ten Hag rayu pemain United bersatu
ERIK ten Hag merayu pemain Manchester United untuk bersatu dan bertenang selepas tewas kepada West Ham United 0-2 pada Sabtu.
United ditundukkan menerusi jaringan Jarrod Bowen dan Mohammed Kudus pada separuh masa kedua di Stadium London.
United hanya memenangi satu daripada tujuh perlawanan terakhir mereka dalam semua pertandingan selain turut gagal menjaringkan gol dalam empat perlawanan berturut-turut buat kali pertama sejak 1992. Mereka juga telah tewas sekurang-kurangnya 13 kali dalam semua pertandingan sebelum Krismas buat kali pertama sejak 1930.
“Pada musim lalu, kami memenangi satu piala, bermain perlawanan akhir Piala FA dan kami ketiga dalam liga
. Terdapat kritikan tetapi kami berjaya tampil baik. Tetapi, pada masa ini kami tidak begitu bagus.
“Ada sebabnya kerana kami mengalami banyak masalah kecederaan, jadi pasukan akan menjadi lebih baik jika mereka yang cedera kembali. “Kami harus tenang, tetap bersama dan berpegang pada rancangan. Kami harus melakukannya bersama," katanya.
Bekas bos Ajax itu mengakui United membayar harga mahal ketika tewas kepada West Ham United kerana gagal menyempurnakan peluang terhidang.
“Saya fikir kami bermain baik dalam tempoh 72 minit, namun kami gagal menyempurnakan peluang.
Pada masa ini prestasi kami tidak bagus, tetapi kami telah melihat minggu lepas menentang Liverpool kami mampu memberikan saingan.
“Di sana (Anfield) kami bertahan dengan sangat baik selama 90 minit. Itu sentiasa menjadi standard kami seperti apa yang kami lakukan di sana. Anda perlu membawanya ke setiap perlawanan di atas padang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!