Membina masa depan yang gemilang
TIBA-TIBA kita tersedar sudah berada pada penghujung tahun. Dan akan melangkah ke tahun baharu. Begitulah masa yang kadang-kadang ditangisi kerana berlari begitu pantas sekali.
Sebaliknya, mereka yang bijak mengurus masa akan berasa bahagia untuk menjejakkan kakinya pada tahun baharu. Yang ditinggalnya ialah tahun yang penuh nostalgik dan membawa sinar gemilang.
Kejayaan seseorang dalam zaman globalisme ini, banyak bergantung kepada pengurusan masa. Sama pentingnya dalam pengurusan bidang bahasa dan sastera.
Para ilmuwan kontemporari yang ternyata canggih kepustakaan pengetahuannya, biasanya mempunyai kemampuan pengurusan bahasa dan sastera, serta menguasainya pula.
Dengan penguasaan dan kekuasaan keilmuan itu mereka menjelajahi segala paksi epistemologi, menemukan aneka dapatan dan berhasil mencipta pelbagai teori.
Bukanlah sesuatu yang mengaibkan, kita terpaksa mengakui bahawa hakikat dunia keintelektualan kita hari ini, masih lagi mengambil, meminjam, menyewa atau melanjutkan ilmu-ilmu daripada luaran; sehingga berlaku fotokopi, ritualistik dan kadang-kadang agak artifisial dengan bumi kita.
Budaya mencipta ilmu bukannya belum wujud, tetapi dalam beberapa hal kita banyak mengambil jalan pintas dengan melakukan transformasi dan pemodifikasian.
Mencipta ilmu hanya pada suatu bangsa yang kreatif dan inovatif, serta dengan penguasaan bahasa yang rencam yang membolehkannya merujuk pelbagai hipogram keilmuan sebagai sandaran dan mengabsahkan kewajarannya.
Kepada bangsa yang tidak peka terhadap tamadun perilmuan peribadi sendiri, mencipta ilmu hampir-hampir tidak pernah terfikirkan, ia sangat sukar, ibarat sang Malim Deman membangunkan raksasa yang sedang tidur. Dan kesemuanya itu adalah fenomena penguasaan dan kekuasaan bahasa.
Begitulah juga kepada bidang sastera. Mereka yang berjaya ialah yang pintar mengurus ilmu sastera. Mengenal genre yang dimasukinya. Membezakan karya yang baik dan yang buruk. Memilih antara puisi pintar dengan puisi merapu.
Sekiranya Hang Tuah hidup di zaman ini, beliau adalah seorang profesor. Pandangan ini tentulah bersifat homonimi tertinggi, dan bersifat hiperbola juga. Tetapi tidak mustahil memandangkan penguasaan 12 buah bahasa Hang Tuah dan menguasai bidang sastera Nusantara.
Dengan penguasaan bahasa itu Hang Tuah berdialog dengan raja-raja seluruh dunia dalam menunaikan tugasannya sebagai duta diraja.
Sastera Barat
Orang Barat sejak daripada dahulu lagi, seperti yang diperikan oleh Aristotle, bahawa para dramatisnya sudah berusaha menolak predeterminisme yang salah tafsiran; akhirnya berkat kegigihan mereka berhasil mencapai penguasaan bahasa, kesusasteraan dan keilmuan.
Kini pun, kita masih diikat oleh kekuasaan mereka itu, dan secara magis ilmuwan mereka masih sebagai nabi-nabi dalam masjid-masjid keilmuan kontemporari.
Kita yang ingin mencapai negara maju terpaksa menguasai bahasa mereka, dan bagaikan dipaksa menyederhanakan nasionalisme kebahasaan sendiri, meskipun ia sesungguhnya bertentangan dengan fitrah Melayu.
Kita pun, sekiranya memahami konsep takdir dan berupaya berfikir asli, akan dapat membina kekuatan, kekuasaan dan kesultanan bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan. Malah, menguasai keilmuan seluruhnya, seandainya kita bersedia untuk mempertahankan kedaulatan dan idealismenya.
Sastera dan bahasa Melayu adalah wahana dan wacana yang menjadi citra dan lambang perjuangan nasionalisme itu, bahkan menjadi suatu wicara kebahasaan dan kekuataan peradaban rantau sini.
Mengingatkan tahun-tahun yang ditinggalkan, teringat juga kita beroleh kejayaan dalam mengesyorkan seorang senator yang akan memperjuangkan aspek bahasa, sastera dan budaya.
Nampaknya dua artikel “Senator Sastera di Dewan Negara” dan “Lantik Sasterawan sebagai Senator” di ruangan ini mempunyai impak dan pragmatiknya yang kuat dan tersendiri.
Dengan perlantikan Profesor Datuk Seri Dr Awang Sariyan uara sasterawan tentang bahasa, sastera dan budaya terdengar di Dewan Rakyat.
Beberapa persoalan yang menuntut diwacanakan di Dewan Rakyat itu, ialah seperti Dasar Sastera Kebangsaan, penubuhan Muzium Sastera Negara, Kuala Lumpur bandar sastera, pewajiban kertas kesusasteraan Melayu dan perkembangan sastera semasa.
Dasar Sastera Kebangsaan, yang sudah dirumuskan dalam Kongres Kebudayaan Kebangsaan 1971, menjadi idaman dan harapan para pengarang di negara ini.
Suara sumbang senantiasa mencari jalan menggugat kedudukan Sastera Kebangsaan. Datangnya dari pelbagai penjuru, dengan tujuan untuk melemahkan konsep dan kuasa Sastera Kebangsaan itu.
Dasar Sastera Kebangsaan itu yang sudah dirancang berpuluh-puluh tahun, sudah sampai masanya untuk dilegitimasikan. Terus sahaja dimantap dan dipertahankan.
Dasar Sastera Kebangsaan perlu dimartabatkan secara perundangan, bukan lagi kekal sebagai konsep longgar yang sentiasa terdedah kepada cabaran para demagogi politik.
Muzium sastera
Penubuhan Muzium Sastera Negara juga patut menjadi agenda utama. Beberapa tahun dahulu sudah ditentukan konsep dan pembinaannya, tetapi kini cita-cita itu sudah menghilang dari ingatan. Tidak perlu diulang betapa signifikannnya sebuah muzium sastera bertaraf kebangsaan didirikan di negara ini.
Sebuah lagi gerakan yang wajib dihidupkan ialah anjuran GAPENA mencadangkan dalam Sistem Pendidikan Negara, supaya mata pelajaran Kesusasteraan Melayu diangkat tarafnya menjadi mata pelajaran wajib bersama Bahasa Melayu, Inggeris, Pendidikan Islam dan Moral, Sejarah, Matematik dan Sains.
Pelajaran sastera antara falsafahnya ialah memanusiakan manusia dan mengembalikannya kepada taraf insaniayah.
Moralnya dapat mengimbangi kehidupan jasadiyah dan rohiyah. Pernah dicadangkan supaya GAENA mengadakan pertemuan dengan Menteri Pendidikan Malaysia untuk merealisasikan cadangan tersebut.
Rancangan menjadikan kota Kuala Lumpur sebagai bandar sastera, semacam hampir terselesai apabila pelbagai pertemuan dan pesta pembacaan puisi yang bertaraf kebangsaan dan antarabangsa.
Bandar sastera dunia ialah Athens kepada Greek, Paris kepada Perancis dan Saint Petersburg kepada Russia. Pementasan drama juga sudah mula menyinar di Kuala Lumpur. Meski dilakukan secara kecil-kecilan, tidak mustahil akan lahir pementasan berskala besar, menyumbang ke arah penskripan drama tanah air.
Kuala Lumpur juga patut menjadi bandar Sastera Islam Sedunia. Penglahiran karya bercorak keislaman dalam setiap genre sajak, cerpen, novel dan drama hendaklah dimeriahkan.
Sekretariatnya diwujudkan dan pengurusannya dibina. Persidangan, pertemuan dan pewacanaan sastera Islam kebangsaan dan antarabangsa perlu dianjurkan.
Kuala Lumpur akhinya menjadi pusat pengembangan sastera sedunia, seperti Melaka suatu masa dahulu menjadi pusat pengembangan agama Islam.
Demikianlah kelahiran tahun baru memberikan harapan, azam dan kekuatan dalam membina budaya sastera yang lebih berjaya dan gemilang.
Dalam Surah al-Ra’d 13:11, Allah berfirman mafhumnya, “Sesugguhnya Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.”
* Mana Sikana ialah nama pena Dr Abdul Rahman Napiah. Beliau ialah pengkritik, pengkaji dan penteori sastera terkenal Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!