Pesawat gagal mendarat tiga kali, Noraini kongsi pengalaman menakutkan

Noraini Ahmad. Tangkap layar yang dimuat naik di Facebook pada Sabtu.
Noraini Ahmad. Tangkap layar yang dimuat naik di Facebook pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkongsi pengalaman menakutkan apabila kapal terbang yang dinaikinya gagal melakukan percubaan mendarat sebanyak tiga kali.

Insiden itu berlaku di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Kota Bharu, Kelantan ketika beliau yang juga Pengerusi Pihak Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) mahu menghadiri program agensi tersebut di sana.

Akibat kejadian tersebut, pesawat berkenaan terpaksa berpatah semula ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang, Selangor.

Ahli Parlimen Parit Sulong itu berkata, perasaannya ketika di udara tidak dapat dibayangkan kerana situasi terbabit sangat mendebarkan.

“Pengalaman menakutkan. Cubaan mendarat dilakukan juruterbang sebanyak tiga kali.

“Berpusing-pusing kapal (terbang). Semua perasaan ada. Nak menangis ada, nak muntah ada, nak buang air ada...yang pasti amat menakutkan,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.

Tambah Noraini, akhirnya kapal terbang berkenaan terpaksa berpusing semula ke LTSAAS kerana kehabisan bahan api.

“Tak pernah (saya) lalui pengalaman menakutkan seperti ini.

Artikel Berkaitan:

“Terima kasih ALLAH beri peluang (kepada saya) untuk terus berbakti,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan tentang punca pesawat terbabit tidak dapat mendarat sama ada faktor cuaca, masalah teknikal atau masalah lain.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!