Kemasukan warga asing ke Malaysia perlu tapisan
WALAUPUN kebanjiran warga asing ke negara ini untuk memenuhi keperluan tenaga buruh, namun pelbagai kes jenayah turut dilaporkan melibatkan mereka termasuk kes meragut nyawa.
Perbuatan jenayah segelintir warga asing itu tidak boleh dibiarkan tanpa ada tindakan tegas oleh pihak berkuasa kerana akan menimbulkan ketakutan dalam kalangan rakyat tempatan.
Sinar Harian pada Sabtu melaporkan, kumpulan warga asing yang dikenali sebagai Kumpulan Geng Rantau Fiesta aktif dalam beberapa kes seperti samun dan pecah rumah di beberapa negari iaitu Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Pahang, Selangor dan Pulau Pinang sejak 2011.
Tiga ahli kumpulan tersebut mati ketika berbalas tembakan dengan polis di Selayang Jaya, Gombak kira-kira jam 1 pagi dan kesemua suspek lelaki etnik Rohingya itu terbabit dalam 27 kes samun serta pecah rumah di Selangor sejak Januari lalu membabitkan kerugian RM1.3 juta.
Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang lelaki warga asing berusia 45 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes seorang lelaki yang ditemui mati di dalam sebuah bilik hotel di Genting Highlands pada Jumaat.
Pada 5 Disember lalu pula, dua warga asing diburu polis bagi membantu siasatan kes penemuan mayat seorang wanita ditemui ditanam dalam simen di bilik air sebuah rumah sewa yang disyaki dibunuh lebih setahun.
Apakah yang boleh dilakukan oleh kerajaan apabila kes jenayah melibatkan warga asing semakin ‘membarah’ dalam kalangan masyarakat tempatan?
Sebagai rakyat, kita akan lebih takut untuk keluar rumah seorang diri apabila bilangan warga asing di sesuatu kawasan lebih ramai dan kebiasaannya bergerak dalam kumpulan.
Selain kes membabitkan warga asing ini kerap terpampang di dada-dada akhbar, ia turut tular di media sosial antaranya melibatkan kes seperti samun, pecah rumah, cabul dan sebagainya.
Perbuatan jenayah tersebut mungkin kelihatan seperti mementingkan diri sendiri apabila warga asing mencuba untuk kekal ‘senang’ di perantauan yang jauh daripada keluarga.
Namun, natijahnya mereka boleh berdepan dengan hukuman berat sekiranya tertangkap selain kelakuan jenayah itu boleh menghancurkan masa depan mereka sendiri.
Justeru, kerajaan sewajarnya berusaha untuk ‘menapis’ dan mengawal kemasukan warga asing ke dalam negara ini kerana peningkatan golongan tersebut mungkin tidak akan menjamin keselamatan rakyat tempatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!