Covid-19: 'Masyarakat hanya sedar apabila ada ahli keluarga meninggal dunia'
KUALA LUMPUR - Masyarakat hanya sedar atau mengambil langkah berjaga-jaga mencegah Covid-19 apabila ada ahli keluarga rapat meninggal dunia akibat virus ini.
Pakar perubatan kesihatan awam, Dr Farhan Rusli mengingatkan orang ramai agar tidak mementingkan percutian atau hadir ke majlis keramaian sekiranya mengalami simptom Covid-19.
Sebaliknya, kata beliau, individu itu perlu mengambil langkah kuarantin kendiri.
"Kita bukan nak takutkan orang. Mesej yang kita hendak sampaikan ialah, kita berada di kawasan di mana kita boleh membuat sesuatu, sebab kita sudah faham bagaimana virus ini merebak.
"Jadi, kalau kita boleh ambil kawalan kendiri, kita praktikkan 3C/3W, kita pastikan kalau kita ada Covid-19 kita jangan keluar, kita kuarantin diri kita.
"Kalau kita melaksanakan semua benda ini, kita tidak akan balik kepada 'zaman gelap' kita dua tahun lepas," katanya ketika dihubungi Buletin AWANI pada Sabtu.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai, virus Covid-19 masih berlegar, namun banyak risiko telah dapat dikurangkan dengan vaksin yang diambil sebelum ini.
Dr Farhan turut memberitahu, simptom Covid-19 dialami seseorang individu yang dijangkiti adalah berbeza kerana perbezaan daya ketahanan badan.
"Sebab itu, ada yang sakit kepala, migrain, ada yang cirit birit dan sebagainya. Juga, pada waktu ini sebenarnya, kes influenza akan naik secara mendadak.
"Dan, tak hairan jika seseorang itu terkena influenza dan juga Covid-19. Ia ada double infection, sebab cara ia merebak adalah sama.
"Sebab itu saya katakan, kalau kita ada simptom apa-apa sekali pun, kita harus buat ujian untuk pastikan apakah virus yang ada dalam badan kita ini.
"Supaya kita ingat, kalau ia Covid-19, terutama golongan berisiko tinggi yang ada kencing manis, darah tinggi dan penyakit jantung, kalau kita dapat kesan awal, kita ada ubat, supaya ia tidak jadi lebih teruk," katanya. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!