Pengusaha ikan sangkar buat persediaan awal hadapi banjir
TEMERLOH - Setiap kali musim tengkujuh, pengusaha ikan sangkar sekitar Sungai Pahang di sini sibuk membuat persediaan awal agar sangkar milik mereka tidak hanyut akibat banjir.
Antaranya, Rosli Harun, 54, di Kampung Tengah di sini yang membuat persediaan dengan menukar tali-tali yang sudah reput.
Menurutnya, dia juga mengambil langkah dengan memasang lebih banyak tali untuk tujuan keselamatan.
"Sebenarnya masa mula usahakan sangkar ini sudah ikat tapi setiap kali musim tengkujuh buat persediaan lebih rapi.
"Buat masa ini air tengah surut tapi apa-apa kita tetap ambil langkah berjaga-jaga memastikan sangkar dalam keadaan selamat," katanya yang memiliki 38 sangkar membabitkan ikan patin dan tilapia.
Ujar Rosli, dia juga bermalam di kawasan sangkar setiap hari untuk melihat paras air sungai.
Mula terbabit dalam bidang itu sejak 2000, Rosli mengakui sudah banyak pengalaman pahit dihadapinya sepanjang musim tengkujuh.
"Antaranya pada 2014, banjir besar ketika itu menyebabkan kawasan kedai berhampiran sangkar habis ditenggelami air.
"Kalau pada 2008, lapan sangkar pecah menyebabkan saya kerugian lebih RM100,000 ketika itu," tambah Rosli.
Turut membuat persediaan sama, Mohd Syukur Ishak, 28, di Kampung Pangsenam memberitahu, kesemua sangkar telah diikat rapi pada pokok-pokok berhampiran tebing sejak Oktober lalu.
"Ini antara usaha kita setiap kali musim tengkujuh dan ia rutin biasa yang dilakukan oleh pengusaha seperti kami," katanya terdapat 50 sangkar diusahakan bersama rakannya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!