Lonjakan kes Covid-19 tidak gambar situasi cemas - Dr Dzulkefly
KLANG - Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan peningkatan kes Covid-19 di Malaysia ketika ini tidak menggambarkan sebarang situasi cemas.
Jelas Pengarah Strategi Parti Amanah Negara (Amanah) itu, ia memandangkan penggunaan fasiliti kesihatan termasuk kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU) masih lagi terkawal.
"Kita bukan lagi dalam ‘Covid War’. Kita sedang masuk fasa pandemik ke endemik. Jadi tindakan kita berwajaran.
"Kita punyai sistem yang sistematik bukan hanya melihat pada angka. Sebaliknya kita melihat kepada tiga, empat faktor ini.
"Pertama jumlah kes, kedua jumlah kematian, ketiga jumlah kemasukan ke ICU dan keempat, sejauh mana beban fasiliti termasuk penggunaan katil di hospital,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung Konvensyen Nasional Amanah 2023 mewakili jawatankuasa yang diterajuinya di salah sebuah hotel di sini pada Ahad.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor berkata, rakyat tidak juga diingatkan agar tidak terlalu 'panik' dengan laporan peningkatan mendadak kes baharu Covid-19.
Sebaliknya, beliau meminta orang ramai supaya mengambil sikap untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak dijangkiti.
Sementara itu, Dr Dzulkefly dalam sama sama berkata, kes wabak berkenaan di negara ini dijangka menunjukkan penurunan mulai Januari tahun depan.
“Ramalan model kita insya-ALLAH dengan izin ALLAH, Januari (Covid-19) akan turun,” katanya.
Dr Dzulkefly dalam sidang akhbarnya pada 16 Disember lalu dilapor berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak bercadang untuk mengulangi sekatan seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam usaha mengekang lonjakan jangkitan wabak berkenaan.
Sebaliknya, beliau berkata, kementeriannya memperkukuhkan Pelan Pengurusan Covid-19 melalui lima strategi utama.
Pada Minggu Epidemiologi 50 iaitu pada 10 Disember sehingga 16 Disember lalu, sebanyak 20,696 kes baharu wabak tersebut direkodkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!