Bawa identiti Orang Asli ke Konvensyen Nasional Amanah 2023
KLANG - Perwakilan kawasan Taiping tampil membawa identiti unik Orang Asli dengan memakai ‘tempok’ iaitu topi tanda penghargaan kaum tersebut ke Konvensyen Nasional Parti Amanah Negara (Amanah) 2023.
Pengerusi Hal Ehwal Biro Orang Asli Amanah Perak, Mohd Saad Ismail, 59, berkata, pihaknya konsisten menyuarakan kebajikan masyarakat kaum itu sejak pertengahan 2016 menerusi gerakan badan bukan kerajaan (NGO).
Menurutnya, kekurangan dari segi keperluan makanan dan rezeki dialami Orang Asli perlu diberi perhatian khusus di peringkat Amanah nasional sebagai satu usaha menyantuni masyarakat asal tersebut.
“Kita perlu ada satu biro khusus untuk menyantuni Orang Asli sebab masalah yang mereka alami tak sama tak sama dengan kita jadi perlu diberi perhatian khusus.
“Perhatian dari segi parti politik ini maksudnya kekurangan dalam perkampungan Orang Asli atau disebut rancangan pembangunan semula (RPS).
"Saya juga bertanding bagi perwakilan kawasan supaya biro Orang Asli Amanah Perak diangkat menjadi biro di peringkat nasional,” katanya ketika ditemui dalam konvensyen di sini pada Ahad.
Mohd Saad memaklumkan, terdapat banyak kawasan yang didiami Orang Asli, namun belum ada gerakan tetap untuk menyantuni kaum berkenaan.
Tambah beliau, sekiranya ada acara yang boleh dijalankan secara kerap dan bersama, ia berkemungkinan mampu menyumbang undi percaya baharu daripada masyarakat Orang Asli kepada ahli Amanah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!