'KKM perlu berhati-hati beri maklumat Covid-19' - King Sing
SHAH ALAM - Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Tiong King Sing mahu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) lebih berhati-hati dalam memberi maklumat mengenai Covid-19 agar tidak menimbulkan keresahan orang ramai, sekali gus menjejaskan ekonomi Malaysia.
Beliau berkata, penting untuk mengelak daripada menimbulkan ketakutan dan mewujudkan persepsi negatif terutama kepada sektor pelancongan.
"Tidak dinafikan Covid-19 merupakan isu kesihatan awam yang penting dan tidak boleh ‘disorok bawah karpet’, namun kita juga tidak seharusnya bertindak secara berlebih-lebihan hingga menyebabkan keadaan menjadi bertambah buruk.
"Saya membuat rayuan ini berdasarkan kepada kebimbangan serta aduan yang dinyatakan oleh kedua-dua industri pelancongan dan orang ramai.
"Kita perlu mengambil pendekatan realistik dengan mengambil kira perbezaan situasi semasa dengan situasi yang pernah berlaku sebelum ini ketika wabak mula menular," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Ahad.
Sebelum ini Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam sidang akhbar memaklumkan, kes Covid-19 bagi Minggu Epidemiologi ke-51 (ME51) iaitu bagi tempoh 17 hingga 22 Disember meningkat kepada 22,413 kes berbanding 17,307 kes direkodkan pada minggu sebelumnya.
Dalam pada itu, King Sing turut meminta Ahli Parlimen Kuala Selangor itu mempertimbangkan kesan Covid-19 terhadap ekonomi Malaysia dengan membandingkan pendekatannya dengan tindakan menteri kesihatan Indonesia dalam menangani situasi itu.
Menurut beliau, Dr Dzulkefly tidak perlu bertindak keterlaluan dan mengelirukan orang ramai bahawa wabak di Malaysia amat serius.
"Saya akan membangkitkan kebimbangan ini dalam Mesyuarat Kabinet untuk mencari penyelesaian seimbang bagi memastikan keadaan wabak terkawal tanpa menjejaskan sektor pelancongan negara.
"Saya perlu mengingatkan bahawa setiap langah pencegahan dan kawalan Covid-19 mesti dibincangkan secara menyeluruh mengenai kesan, penyelidikan dan kajian sewajarnya.
"Elakkan tindakan tergesa-gesa tanpa pertimbangan berkepentingan dan dieksploitasi individu oportunis, sekali gus merugikan ekonomi negara," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!