[VIDEO] Rumah pengasas Silat Gayong Malaysia bakal dibina semula
TAIPING - Kediaman Pengasas Silat Seni Gayong Malaysia, Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman Daeng Uda Mohd Hashim yang terbiar di Jalan Ayer Kuning di sini akan dibangunkan semula tahun hadapan.
Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, usaha itu merupakan inisiatif peribadi sebagai mengenang jasa dan sumbangan Meor Abdul Rahman dalam seni persilatan tanah air.
Menurutnya, tapak rumah berkenaan merupakan kebanggaan warga persilatan dalam negara.
"Rumah dan gelanggang ini ada nilai sentimental buat saya secara peribadi kerana Allahyarham bapa saya, Tan Sri Omardin Mauju yang pernah bertandang ke rumah ini bertemu dengan Datuk Meor Abdul Rahman.
"Disebabkan itu saya menawarkan diri untuk membantu membina semula rumah ini dengan dana yang akan saya cari sendiri tanpa melibatkan mana-mana pertubuhan," katanya kepada pemberita ketika meninjau keadaan rumah Meor Abdul Rahman yang terbiar di Jalan Air Kuning di sini pada Ahad.
Hadir sama dalam sesi lawatan itu, Waris Amanah Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia, Sazali Salleh.
Sementara itu, Megat Zulkarnain berkata, segala proses dokumentasi dan pengurusan melibatkan pihak berkuasa negeri akan diselesaikan secepat mungkin bagi membolehkan kerja pembinaan dimulakan.
Menurutnya, hasrat untuk membina semula rumah itu telahpun dimaklumkan kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan kerajaan negeri sedia memberikan komitmen bagi mempermudahkan segala urusan berkaitan.
Dalam pada itu, beliau yang juga pemimpin Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia memaklumkan usaha dilakukan untuk membina semula rumah tersebut bukan bermaksud mencampuri urusan serta pentadbiran pertubuhan seni silat Gayong.
Katanya, sebaik sahaja siap, rumah berkenaan akan diserahkan semula pihak yang diberi tanggungjawab menguruskan kediaman baharu itu nanti.
Media pada 21 Disember lalu menyiarkan laporan mengenai keadaan kediaman Meor Abdul Rahman yang usang yang menunggu masa untuk menyembah bumi.
Sejarah merekodkan, Allahyarham Meor Abdul Rahman yang meninggal dunia pada 1991 semasa berusia 76 tahun, sebagai Pengasas Silat Seni Gayong Malaysia yang begitu besar jasanya dalam dunia seni mempertahankan diri.
Sumbangan besar Allahyarham kepada seni silat tanah air dan pasukan keselamatan menarik perhatian pemimpin negara termasuk para sultan, antaranya Almarhum Sultan Idris Al-Mutawakkilalallahi Shah II, Sultan Perak ke-33 yang pernah mencemar duli berangkat melawat kediaman mahaguru silat itu semasa era kegemilangannya.
Kehandalan Allahyarham yang juga dikenali sebagai Rahman Sendo dalam dunia silat turut menarik minat orang asing antaranya ialah anak murid aktor bela diri Hollywood Bruce Lee iaitu Daniel Inosanto.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!