Amanah bangkit pertahan bukan Islam jika ada penindasan - Mat Sabu

Mohamad Sabu ketika ucapan penggulungan dalam Konvensyen Nasional Amanah 2023 di salah sebuah hotel dekat Klang pada Ahad. - FOTO SINAR HARIAN/MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
Mohamad Sabu ketika ucapan penggulungan dalam Konvensyen Nasional Amanah 2023 di salah sebuah hotel dekat Klang pada Ahad. - FOTO SINAR HARIAN/MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
A
A
A

KLANG - Parti Amanah Negara (Amanah) akan bangkit mempertahankan golongan bukan Islam sekiranya berlaku penindasan kepada kumpulan tersebut di negara ini.

Presidennya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, langkah itu selaras dengan pendekatan ‘Rahmatan Lil Alamin' yang dibawa parti berkenaan.

“Kita mahu ramai lagi golongan bukan Islam bersama dalam perjuangan kita kerana Islam bukan hanya Melayu, India atau Cina saja, tetapi rahmat untuk semua ini yang perlu kita kumandangkan.

“Dalam kita berlawan dengan Pas, jangan ambil cara Pas, kita kena ambil cara kita cara mengetengahkan rahmat untuk semua.

“Sekarang ini penindasan berlaku terhadap rakyat Palestin, satu hari nanti katakanlah berlaku penindasan kepada yang bukan Islam, Amanah kena bela golongan berkenaan,” katanya ketika ucapan penggulungan Konvensyen Amanah Nasional 2023, di sini pada Ahad.

Dalam ucapannya juga, Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu menjelaskan, ideologi Islam terancam yang dimainkan pihak lawan juga menyebabkan parti itu gagal mendapat sokongan Melayu Islam sehinggakan beberapa tokoh pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan UMNO tumbang pada pilihan raya umum (PRU) serta pilihan raya negeri (PRN) lalu.

“Isu Islam terancam ini memang memikat pemikiran rakyat sehingga kita melihat tokoh daripada Amanah atau UMNO kalah, bayangkanlah seorang menteri yang kerja kuat kalah dengan ‘sepupu’.

“Datuk Mahfuz Omar yang cukup hebat kalah dengan majoriti 31,000 manakala puteri reformasi, Nurul Izzah Anwar kalah di Permatang Pauh iaitu tempah lahirnya reformasi, ini akibat slogan dimainkan Islam terancam.

Artikel Berkaitan:

“Persepsi tersebut diterima orang Melayu termasuk kawasan intelektual, ini berat yang kita (Amanah) hadapi dan kena rungkai dimana terancamnya Melayu Islam,” ujarnya.

Mengulas isu pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT), Mat Sabu meminta kerajaan menyelesaikan dengan cermat dan memastikan kedua-dua pihak menang tanpa memberikan sebarang kesan terhadap mana-mana kumpulan tertindas.

“Mengenai pilihan raya PBT, kita kena bincang dengan lebih lanjut supaya kalau dah sampai peringkat cadangan mesti ada ‘win-win’, ertinya semua kaum rasa selamat dan semua puas hati.

“Tetapi, pilihan raya ini pada masa akan datang kena fikir kalau PBT dipilih oleh rakyat, mereka kena bekerja betul betul demi kepentingan rakyat dan bukan kerana ketua parti,” ulasnya lagi.

Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyuarakan keyakinan bahawa gabungan parti membentuk Kerajaan Perpaduan akan kembali memerintah dengan bergaya selepas pilihan raya umum ke-16 (PRU16) jika perpaduan antara dua pihak berjalan lancar.

Tambahnya, Amanah juga mampu memenangi beberapa kerusi di negeri pembangkang seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis sekiranya perpaduan antara parti kerajaan semakin kuat.

“Peluang Amanah boleh menang enam atau tujuh kerusi di Kelantan, boleh menang kalau campur undi Barisan Nasional (BN) dan PH serta peroleh banyak kerusi di empat negeri ini.

“Tetapi, kalau Amanah saja nak menang di Kelantan, ia ibarat bermimpi di siang hari buat masa ini, tapi kalau masa depan kita tak tahu,” jelas ahli Parlimen Kota Raja tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!