MPK keluar 13 kompaun, dua notis henti berniaga
KLANG - Majlis Perbandaran Klang (MPK) mengeluarkan 13 kompaun terhadap premis yang beroperasi tanpa lesen perniagaan di sekitar kawasan Selat Klang, Tanjung Harapan di Pelabuhan Klang di sini.
MPK memaklumkan, dua notis arahan memberhentikan aktiviti perniagaan secara serta-merta juga ditampal di pintu premis perniagaan terbabit atas kesalahan beroperasi tanpa lesen.
"Pemeriksaan melibatkan 26 premis dan daripada jumlah itu hanya tujuh mempunyai lesen perniagaan dan iklan yang sah daripada MPK manakala 15 premis beroperasi tanpa lesen.
"13 kompaun dikeluarkan atas kesalahan beroperasi tanpa lesen dan dua notis arahan memberhentikan aktiviti perniagaan secara serta-merta.
"Notis tersebut telah ditampal di hadapan pintu masuk utama premis di atas kesalahan beroperasi tanpa lesen," kata pihak berkuasa tempatan itu dalam satu hantaran di laman Facebooknya pada Ahad.
Terdahulu, operasi berkenaan disertai Jabatan Perancang Bandar dan Desa, Pejabat Tanah dan Daerah Klang, Jabatan Pelesenan, Jabatan Kesihatan, Jabatan Bangunan dan Team Pantas Jabatan Penguat kuasa MPK.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!