MITRA capai sasaran, berjaya bersihkan imej

R Ramanan
R Ramanan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) telah mencapai 100 peratus sasarannya pada 2023 dan memenuhi semua objektif utama yang ditetapkan tahun ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk R Ramanan berkata, kejayaan itu juga menandakan penggunaan sepenuhnya dana untuk kali pertama sejak penubuhannya secara telus, bertanggungjawab dan membuahkan hasil.

"Pada 2023, Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas MITRA telah menyusun rangka kerja yang baik dan kukuh untuk sesiapa yang mengendali dan mengambil alih agensi ini pada masa depan.

"Peningkatan dan penambahbaikan kumpulan B40 komuniti India di negara ini adalah yang paling utama dan MITRA perlu terus meneruskan usaha memperkasakan mereka melalui pendidikan yang betul dan peluang pekerjaan dengan gaji yang tinggi untuk membentuk sebuah komuniti masa depan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Menurut infografik kad laporan MITRA, agensi itu telah menganjurkan 201 program sepanjang 2023 melibatkan RM19,029,325.01 dibelanjakan untuk program ekonomi dan kerjaya, RM5,865,615.64 untuk program sosial dan RM4,062,145.36 untuk program modal insan.

Ramanan berkata, MITRA telah berjaya membersihkan imejnya daripada tuduhan lalu tentang salah urus dana berikutan penarafan rasmi ‘risiko rendah’ dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk 2023.

"MITRA dimaklumkan secara rasmi mengenai status itu melalui surat yang ditandatangani oleh Pengarah Bahagian Pengurusan Integriti Agensi (BPIA) SPRM Datuk Nor Azmi Karim pada 22 Nov.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada SPRM atas kerjasama dan sokongan penuh mereka kepada MITRA sepanjang masa ini. Status untuk tahun ini pasti akan memberikan impak positif kepada agensi ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ramanan berkata, setelah dilantik sebagai pengerusi Jawatankuasa Khas MITRA, fokus dan misi utama pasukannya adalah membersihkan imej MITRA dan menyediakan program berimpak tinggi untuk kebaikan masyarakat.

"Itulah sebabnya saya berazam untuk mengukuhkan sistem penyampaian MITRA, terutamanya dalam aspek integriti dan ketelusan,” katanya.

Ahli Parlimen Sungai Buloh itu turut merakamkan harapan kepada sesiapa yang dilantik untuk menerajui agensi itu, memahami tanggungjawab terhadap masyarakat India serta pemerkasaannya, dan turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepercayaan dan keyakinan yang diberikan kepadanya dan ahli Jawatankuasa Pasukan Petugas.

"Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyatakan bahawa semua dana akan disalurkan secara langsung kepada penerima akhir dan bukan melalui dana NGO pihak ketiga untuk mengelak penyalahgunaan dana.

"Kami yakin dengan hala tuju agensi ini kerana Perdana Menteri telah menyatakan bahawa beliau akan memantau secara peribadi bagaimana dana MITRA akan dikendalikan,” katanya.

Semalam, Anwar berkata, MITRA di bawah seliaan Jabatan Perdana Menteri (JPM) akan diletakkan semula di bawah Kementerian Perpaduan Negara.

Bagaimanapun, Perdana Menteri memberi jaminan bahawa beliau akan sentiasa memantau unit khas itu yang bertanggungjawab dalam menangani isu pembangunan sosioekonomi masyarakat India di negara ini.

MITRA pada asalnya dikenali sebagai unit khas Pembangunan Sosioekonomi Komuniti India (SEDIC) yang ditubuhkan pada 2014 sebelum dijenamakan semula sebagai MITRA pada 2018 dan diterajui oleh Kementerian Perpaduan Negara namun pada September 2022 ia telah dipindahkan di bawah seliaan JPM. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!