Kembali sertai Kabinet faktor Dr Dzulkefly raih undi tertinggi
KLANG - Personaliti yang disenangi menjadi faktor Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memperoleh undian tertinggi bagi Jawatankuasa Pimpinan Parti Amanah Negara (Amanah) Nasional bagi sesi 2023-2026.
Menurut Ketua Angkatan Wanita Amanah (AWAN) Kawasan Port Dickson Negeri Sembilan, Rozilawati Mohd Talib, Dr Dzulkefly juga dilihat sebagai pemimpin yang mudah didampingi.
"Dia seorang yang berwatakan 'soft spoken', cara penyampaian, cara dia menegur sangat berhemah.
"Jadi kita di bawah pun rasa seperti dilayan dengan baik.
"Saya juga melihat pelantikan beliau kembali menjadi Menteri Kesihatan itu juga faktor kenapa beliau mendapat undi tertinggi," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Sementera itu ditanya sebab Datuk Seri Mohamad Sabu tidak memperoleh undi dalam kelompok lima terbaik, Rozilawati enggan memberi sebarang ulasan.
Seorang lagi perwakilan yang ditemui, Hisham Fauzi berkata, sudah menjadi jangkaan Dzulkefly akan memperoleh undian tertinggi.
"Dr Dzulkefly memang popular dalam kalangan ahli-ahli Amanah, ditambah pula dengan faktor beliau dipilih semula mengemudi Kementerian Kesihatan, lagilah bertambah keyakinan penyokong-penyokong di bawah.
"Undi yang beliau peroleh tinggi, daripada 1,000 undi itu beliau mendapat 900.
"Undian yang tertinggi ini juga menggambarkan harapan daripada ahli-ahli Amanah," kata perwakilan dari Kelantan berkenaan.
Sementara itu, menyentuh mengenai kedudukan Mohamad di tempat kelapan, Hisham tidak menolak kemungkinan perwakilan inginkan nafas baharu dalam parti.
"Mereka mahu melihat sama ada gandingan baharu dapat perkukuh lagi parti menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang," katanya.
Terdahulu, Dzulkefly yang juga Pengarah Strategi parti mendapat 900 undi.
Undian kedua tertinggi pula diperoleh bekas Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad dengan 899 undi.
Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof pula memperoleh 755 undi manakala Mohamad menduduki tempat kelapan dengan 613 undi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!