Mat Sabu akui bukan calon popular

Mohamad Sabu ketika ucapan penggulungan dalam Konvensyen Nasional Amanah 2023 pada Ahad. - Foto Sinar Harian MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
Mohamad Sabu ketika ucapan penggulungan dalam Konvensyen Nasional Amanah 2023 pada Ahad. - Foto Sinar Harian MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
A
A
A

KLANG - Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu mengakui beliau bukan calon yang dipilih secara popular untuk mengemudi parti itu.

Menurutnya, ia dibuktikan menerusi dua sesi pemilihan sebelum ini dirinya bukan dalam kalangan yang memperoleh undi tertinggi.

“Saya tahu saya banyak kelemahan. Setelah Amanah dilancarkan pada 16 September (2015), Amanah adakan pemilihan yang pertama (dan ketika itu) saya bukan calon yang dipilih secara popular.

“Ramai lagi yang lebih popular (tetapi) (majlis) syura (Amanah) melihat kelemahan saya dan dalam masa sama melihat kekuatan dari satu segi. Jadi mereka minta saya terus pimpin.

“Sekali lagi pada tahun ini, saya tidak jadi pilihan nombor satu dan selepas mesyuarat (konsensus pilih jawatan lima tertinggi) turut menegur saya secara berdepan (tetapi) akhirnya mereka buat keputusan seperti yang diumumkan tadi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penangguhan Konvensyen Nasional Amanah 2023 di salah sebuah hotel di sini pada Ahad.

Terdahulu, keputusan pemilihan 27 Jawatankuasa Pimpinan Nasional Amanah menyaksikan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memperoleh undian tertinggi iaitu 900 undi.

Undian kedua tertinggi pula dimiliki bekas ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad dengan 899 undi.

Artikel Berkaitan:

Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof pula memperoleh 755 undian manakala Datuk Seri Mohamad Sabu menduduki tempat kelapan dengan 613 undi.

Terdahulu, 1,008 perwakilan mengundi secara dalam talian atau e-voting bagi memilih speaker, timbalan speaker dan 27 jawatankuasa pimpinan Amanah bagi sesi 2023-2026.

Dalam pada itu, Jawatankuasa Pimpinan Nasional yang bermesyuarat hampir tiga jam bagi menentukan kedudukan lima jawatan tertinggi parti memutuskan untuk mengekalkan Mohamad sebagai Presiden.

Manakala, Datuk Seri Dr Muhjahid Yusoff dilantik sebagai timbalan dan tiga jawatan naib presiden masing-masing diisi Dzulkefly, Dr Siti Mariah Mahmud, dan Adly Zahari.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!