Jambatan dinaiki air, penduduk terputus laluan perhubungan

Gambar hiasan - Foto fail Bernama
Gambar hiasan - Foto fail Bernama
A
A
A

GUA MUSANG - Penduduk Kampung Limau Kasturi dan Kampung Serian, di sini, terputus hubungan sejak pagi tadi berikutan satu-satunya jambatan di laluan utama perkampungan itu dinaiki air.

Peniaga, Mazita Mamat, 44, berkata, beliau menyedari kejadian itu pada kira-kira 5.30 pagi ketika ingin keluar berniaga seterusnya memandu kenderaannya sambil membunyikan hon untuk mengejutkan penduduk yang lain.

"Saya sememangnya sudah dalam keadaan berjaga-jaga kerana sejak kira-kira 3 petang semalam hujan turun dengan lebat secara berterusan.

Pagi ini kira-kira 5.30 pagi, air melimpah ke atas jambatan Sungai Kerak, namun paras air naik dengan cepat sehingga paras betis selepas 20 minit kemudian,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Limau Kasturi, hari ini.

Menurut Penghulu Mukim Kampung Limau Kasturi, Mohd Shaffien Mohmood ekoran jambatan ditenggelami air ia mengakibatkan hampir 2,000 penduduk terjejas dan terperangkap.

"Penduduk telah dinasihatkan untuk sentiasa bersedia berpindah sekiranya paras air semakin meningkat.

"Mereka yang tidak mempunyai rumah rakit dinasihatkan untuk berpindah ke tempat yang lebih tinggi,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Gua Musang, Lt (PA) Mohd Hanafi Mohd Bokri berkata, sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) sudah dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Limau Kasturi 1.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sebanyak empat keluarga membabitkan 22 penduduk sudah berpindah ke PPS berkenaan setakat 6 petang tadi. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!