JELITA@RISDA perkasa kapasiti wanita
KOTA BHARU - Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) berusaha memperkasakan golongan wanita dalam ekonomi menerusi pelaksanaan program JELITA@RISDA.
Menurut Ketua Eksekutif Kolej RISDA Sdn Bhd, Datin Faizatul Akmar Hisan, program JELITA@RISDA itu memberi perhatian dalam aspek latihan melalui platform TVET (Pendidikan Dan Latihan Teknikal Dan Vokasional).
"Program JELITA@RISDA ini yang direka khas bagi memberi peluang kepada wanita di kawasan luar bandar meningkatkan kemahiran dalam pelbagai sektor ekonomi.
“Bagi tahun 2023, fokus utama program latihan melibatkan empat bidang iaitu pensijilan halal; pelancongan, hospitaliti dan kulinari; teknologi agro serta perniagaan luar bandar," katanya kepada pemberita selepas majlis penutup program JELITA@RISDA di Pusat Penilaian Amali PPT, di sini pada Ahad.
Seramai 100 orang peserta dari Kelantan dan Negeri Sembilan telah berjaya menamatkan kursus di bawah program itu.
Kesemua mereka merupakan sebahagian daripada keseluruhan 2,300 peserta yang mengikuti program JELITA@RISDA di seluruh negara ketika ini.
Program JELITA@RISDA dilaksanakan secara kaedah PPT (Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu), iaitu berasaskan pengalaman kerja atau latihan secara formal yang dimiliki oleh peserta.
Selepas tamat program para peserta diberikan pengiktirafan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap Dua dan Tahap Tiga mengikut kursus yang diikuti selaras dengan hasrat kerajaan membangunkan tenaga kerja berkemahiran tinggi menjelang tahun 2030.
Dalam pada itu, Faizatul Akmar turut memaklumkan, program ini tidak hanya memberikan latihan teknikal, tetapi turut menyediakan peserta dengan panduan untuk mengaplikasikan kemahiran yang mereka diperoleh dalam bidang keusahawanan.
“Antara modul yang telah dilaksanakan ialah urutan terapi, pembuatan pakaian wanita, terapi bekam angin, pembuatan pastri dan fotografi.
"Melalui kaedah latihan secara PPT, TVET JELITA@RISDA menjadi saksi kebolehlaksanaan program pada suatu tahap yang lebih jauh berbanding kursus-kursus yang pernah dilaksanakan sebelum ini,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!