Kerajaan Perak komited pacu sektor pelancongan

Kar Hing (belakang, tengah) bergambar bersama pengunjung yang hadir meraikan sambutan Tahun Baharu 2020 di Dataran Maritim malam tadi. - Foto Bernama
Kar Hing (belakang, tengah) bergambar bersama pengunjung yang hadir meraikan sambutan Tahun Baharu 2020 di Dataran Maritim malam tadi. - Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak sentiasa komited untuk terus memacu sektor pelancongan sebagai salah satu jentera utama pertumbuhan sektor perkhidmatan negeri.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, usaha berterusan itu sekaligus meningkatkan penglibatan lebih ramai rakyat dalam aktiviti pelancongan.

Menurutnya, kerajaan negeri yakin pengisytiharan Pulau Pangkor sebagai pulau bebas cukai (PBC) bermula Januari 2020 akan terus melonjakkan lagi aktiviti sektor pelancongan negeri ini.

"Sebagai langkah persediaan, peruntukan RM9.1 juta sudah dibelanjakan untuk menaiktaraf jeti penumpang, jeti kargo dan kemudahan-kemudahan infrastruktur yang lain di Pulau Pangkor.

"Selain itu, kerajaan negeri juga memperuntukkan RM4.5 juta dalam Belanjawan Negeri 2020 untuk memacu inisiatif Pulau Bebas Cukai Pangkor termasuk pembangunan modal insan bagi memastikan penduduk mendapat manfaat sebenar daripada status pulau bebas cukai ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Ambang Tahun Baru 2020 Peringkat Negeri Perak di Dataran Maritim Lumut di sini malam tadi.

Teks ucapan tersebut dibacakan Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Perak, Tan Kar Hing.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Zulazlan Abu Hassan dan beberapa Exco Kerajaan Perak.

Artikel Berkaitan:

Orang ramai bergambar bersama selepas meraikan sambutan Tahun Baharu 2020 pada Majlis Ambang Sambutan Tahun Baru 2020 di Dataran Maritim malam tadi. - Foto Bernama
Orang ramai bergambar bersama selepas meraikan sambutan Tahun Baharu 2020 pada Majlis Ambang Sambutan Tahun Baru 2020 di Dataran Maritim malam tadi. - Foto Bernama

Ahmad Faizal berkata, majlis pengisytiharan PBC Pangkor akan disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada masa yang akan dimaklumkan kelak.

Dalam pada itu, beliau berkata, sejajar pelaksanaan PBC Pangkor dan Tahun Melawat Malaysia 2020, usaha-usaha pembangunan produk pelancongan negeri ini akan terus dipergiatkan.

"Antara pembangunan yang akan dilaksanakan termasuklah Perpustakaan Digital dan Padang Ipoh Light and Sound Show yang akan dikelola Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara di Ipoh serta menaiktaraf Lata Tebing Tinggi dan papan tanda di Selama.

"Pembangunan turut melibatkan kawasan Beting Beras Basah di Bagan Datuk yang akan dilaksanakan oleh Tourism Perak dan Lembaga Muzium Malaysia," katanya.

Katanya, Tourism Perak juga akan menaik taraf Pusat Informasi Pelancongan (TIC) di Ipoh, Pulau Pangkor dan Selama selain memperluaskan perkhidmatan Bas Hoho ke kawasan pelancongan ‘Outcircuit’ di Tambun, Gopeng serta Batu Gajah.

"Bagi mempergiatkan usaha mempromosikan sektor pelancongan negeri Perak, tumpuan akan diberikan kepada pemasaran digital antaranya adalah dengan pengenalan QR Code dan e-brochures dan videos penjenamaan Pride of Perak (POP).

"Selain itu, familiarisation trip untuk media dan Vlogger antarabangsa, meningkatkan penggunaan pelbagai platform media sosial serta mewujudkan rakan strategik dengan agensi kerajaan lain, pihak swasta serta badan-badan bukan kerajaan.

"Kita yakin semua usaha ini akan menghasilkan limpahan ekonomi kepada rakyat, seterusnya merakyatkan sektor pelancongan," katanya.

Katanya, kerjasama erat semua pihak amat diperlukan dalam merealisasikan potensi besar Perak sebagai hab sektor pelancongan utama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!