Jangan pukul rata, bukan semua orang Rohingya itu jahat
MERAK Jalanan tahu rakyat Malaysia hari ini begitu benci dengan susuk etnik Rohingya yang menjadikan negara kita kononnya sebagai tempat perlindungan.
Mana tidaknya, mengikut rekod tahun lalu, etnik Rohingya kekal mencatatkan jumlah pelarian paling ramai di Malaysia iaitu melebihi 200,000 orang.
Itu rekod yang berdaftar, jumlah itu mungkin lebih lagi.
Di Pasar Borong Selayang, seperti yang dilaporkan sebelum ini, penduduk tempatan kurang senang apabila pasar basah itu kembali ‘dijajah’ Rohingya.
Lebih menyakitkan hati, apabila etnik Rohingya menjadi dalang geng pecah rumah dan samun yang aktif sejak tahun 2011 di Selangor, Kuala Lumpur, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang dan Pulau Pinang.
Tiga ahli geng tersebut akhirnya ditembak mati polis di Taman Selayang Jaya, Selayang pada tengah malam kelmarin.
Berbondong-bondonglah rakyat Malaysia meninggalkan komen berbaur kebencian, kepuasan dan tidak kurang juga mengucapkan tahniah kepada polis.
Merak Jalanan pun ada ketikanya kurang sedang dengan kehadiran rakyat Rohingya dan pernah membenci etnik itu, namun berubah selepas Merak Jalanan mengenali seorang daripada mereka yang usianya kini mencecah 25 tahun.
Sudah hampir tujuh tahun Merak Jalanan mengenalinya.
Pemuda ini pada Merak Jalanan mempunyai visi dalam kehidupannya dan seorang yang bijak serta fasih berbahasa Inggeris.
Dia anak guru Bahasa Inggeris yang mengajar di Cox's Bazar, Bangladesh dan menyeludup masuk berseorangan pada usia kurang 10 tahun.
Disebabkan dia mempunyai sikap yang berlawanan dengan etniknya, dia mudah mendapat kerja, malah disenangi ramai.
Apa yang Merak Jalanan mahu sampaikan, tidak semua orang Rohingya itu teruk. Bukan semuanya jahat.
Ya, kita memang benci kehadiran ratusan ribu etnik ini tetapi dalam setandan pisang, mungkin hanya ada satu atau dua sahaja yang rosak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!