Kadar tol Jambatan Kedua Pulau Pinang kini RM7

Farizan menunjukkan kadar bayaran bagi kenderaan persendirian kelas 1 di jambatan kedua itu yang diturunkan sebanyak RM1.50.
Farizan menunjukkan kadar bayaran bagi kenderaan persendirian kelas 1 di jambatan kedua itu yang diturunkan sebanyak RM1.50.
A
A
A

BATU KAWAN - Kadar bayaran bagi kenderaan persendirian kelas 1 di Tol Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah diturunkan sebanyak RM1.50 iaitu bermula hari ini.

Ahli Lembaga Pengarah Jambatan Kedua Sdn Bhd, Datuk Seri Farizan Darus berkata, penyeragaman kadar tol itu dibuat selaras pengumuman Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam Bajet 2020 di Dewan Rakyat pada 11 Oktober lalu.

"Penurunan ini untuk kenderaan persendirian kelas 1 iaitu kereta tidak termasuk teksi. Tiada kerugian akan dicatatkan walaupun setiap kereta kutipan akan berkurangan sebanyak RM1.50.

"Jumlah pengguna di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shahakan ini meningkat selepas penurunan kadar dari RM8.50 kepada RM7 sekali gus mengurangkan kesesakan di Jambatan Pulau Pinang," katanya pada sidang media tengah malam tadi.

Terdahulu, Farizan melancarkan penyeragaman kadar tol bagi kenderaan persendirian kelas 1 di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah yang bermula pada jam 12.01 tengah malam.

Menurutnya, peningkatan trafik sehingga lebih 32 peratus dijangka berlaku berikutan pengguna ingin ke bahagian pulau akan beralih ke Jambatan Kedua Pulau Pinang yang memberi pemanduan lebih lancar, selesa dan selamat.

Farizan (kanan) melancarkan penyeragaman kadar tol Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah malam tadi.
Farizan (kanan) melancarkan penyeragaman kadar tol Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah malam tadi.

"Sejak jambatan ini dibuka pada 2014, jumlah kenderaan yang melaluinya adalah 3.4 juta, bagi 2015 adalah 4.8 juta manakala jumlahnya terus meningkat pada 2016 iaitu 6.1 juta. Bagi 2017 pula, jumlah kenderaan yang dicatatkan adalah 8.1 juta dan 9.8 juta pada tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

"Bagi tahun 2019, sehingga November, sebanyak 9.5 juta kenderaan dicatatkan melalui jambatan kedua ini. Kita menjangkakan jumlah ini akan terus meningkat selepas pengurangan sebanyak RM1.50 bagi kenderaan persendirian kelas 1," katanya.

Sementara itu, pekerja swasta, Mohd Zulfahmi Arbain, 20-an berkata, penurunan kadar tol tersebut disambut baik kerana dapat menjimatkan kos selain mengurangkan beban perbelanjaan sehariannya.

"Dengan penurunan ini, rasa kurang sikitlah beban tu. Selalunya saya kena sediakan bajet RM100 lebih setiap bulan kerana saya berulang alik setiap hari untuk ke tempat kerja," katanya.

Pekerja swasta, Garison Goh, 30-an berkata, penurunan kadar tol kepada RM7 disambut baik kerana ia mengurangkan beban pengguna jambatan kedua itu.

"Saya rasa lega sebab saya guna jambatan ini setiap hari. Saya tinggal di pulau dan bekerja di seberang. Sebelum ini, agak terbeban dengan harga tol tetapi dengan penurunan sehingga RM7, ia dapat mengurangkan beban saya.

"Terima kasih kepada kerajaan kerana memahami keadaan ekonomi rakyat yang sebelum ini perlu menanggung kos tol jambatan yang agak tinggi," katanya.

Terdahulu, tol untuk motosikal di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah dimansuhkan pada 1 Januari 2019 sama seperti di Jambatan Pulau Pinang.

Kini kadar tol untuk kenderaan persendirian kelas 1 di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah sama seperti Jambatan Pulau Pinang iaitu RM7.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!