Kesihatan mental bukan perkara remeh

Gambar hiasan - Foto AI
Gambar hiasan - Foto AI
A
A
A

KESIHATAN mental sering kali dianggap remeh oleh masyarakat, malah terdapat stigma masyarakat sekeliling yang menganggap ia berkaitan dengan ‘penyakit gila’.

Sejak pandemik Covid-19 melanda pada hujung 2019, masalah kesihatan mental mendapat perhatian.

Ini disebabkan kes berkaitan kesihatan mental meningkat dan ia dapat dilihat daripada jumlah mereka yang menerima rawatan.

Keadaan ini menimbulkan kegusaran masyarakat kerana implikasinya akan menjejaskan prestasi individu dan organisasi.

Mereka yang mengalami kesihatan mental akan mudah terdedah kepada tindakan berisiko dan luar kawalan.

Mengikut takrifan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kesihatan adalah satu keadaan merangkumi kesihatan secara fizikal, mental dan sosial, tidak hanya ketiadaan penyakit.

Kita perlu memahami konsep kesihatan mental terlebih dahulu, terdapat perbezaan besar di antara kesihatan mental dan penyakit mental.

Seseorang individu normal mungkin tidak mempunyai kesihatan mental yang baik pada setiap masa, tetapi masih lagi berupaya melakukan aktiviti seharian seperti biasa.

Artikel Berkaitan:

Berlainan dengan mereka yang mempunyai penyakit mental, fungsi seharian akan terjejas.

Secara umumnya, kesihatan mental menggambarkan tahap kesejahteraan pemikiran dan emosi seseorang individu.

Jika seseorang itu terdedah kepada tekanan berterusan dan tidak berupaya mengendalikan tekanan, mereka mungkin mendapat penyakit mental.

Risiko adalah lebih tinggi dalam kalangan mereka yang mempunyai sejarah keluarga yang mempunyai penyakit mental, faktor psikologi dan masalah personaliti tertentu, ketidakseimbangan bahan kimia di dalam otak dan keabnormalan otak.

Seseorang itu akhirnya berpotensi mengalami kemurungan, bipolar dan skizofrenia.

Pakar Perubatan Psikiatri, Hospital Cyberjaya, Dr Aida Harlina Abdul Razak berkata, stigma terhadap penyakit mental perlu dihapuskan dalam kalangan masyarakat bagi memberi ruang kepada penghidap penyakit tersebut untuk tampil mendapatkan rawatan sewajarnya.

Stigma masyarakat yang sering menggambarkan individu yang menghidap penyakit ini sebagai lemah semangat, sekali gus tidak berani tampil mendapat bantuan pakar.

Ujarnya lagi, akibat stigma yang terlalu kuat dipegang oleh masyarakat, individu merasakan dirinya terpinggir.

Selain itu, Kajian Morbiditi Kesihatan Kebangsaan (NHMS) pada tahun 2019 mendapati sebanyak 2.3 peratus rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas mengalami masalah kemurungan.

Dapatan Kajian NHMS 2022 pula menunjukkan seorang daripada lapan remaja pernah terfikir untuk membunuh diri dan satu daripada 10 remaja pernah cuba membunuh diri.

Keadaan ini sangat membimbangkan dan perlu usaha yang proaktif daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan rakan-rakan strategik kementerian berkenaan.

Justeru, seperti saranan Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye, KKM perlu menitikberatkan isu kesihatan mental dan depresi dalam kalangan rakyat negara ini.

Ini termasuk mengadakan sesi kaunseling dan pelbagai inisiatif program menggunakan komunikasi dua hala supaya individu mengalami masalah berkenaan mampu meluahkan perasaan atau tekanan yang dialami.

Jika tidak diberi penekanan segera, ia akan memberi masalah kepada masa hadapan negara sekiranya tidak diselesaikan dengan tuntas.

Pihak majikan juga boleh bekerjasama dengan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan untuk menganjurkan sesi seperti ceramah oleh kaunselor untuk pekerja mereka bagi mengawal emosi.

Kesihatan mental adalah penting bagi manusia.

Sesiapa sahaja berhak untuk mencapai tahap kesihatan mental tertinggi.

Justeru, pastikan kesihatan mental diri sendiri diutamakan.

Dapatkan bantuan segera tanpa rasa takut atau malu sekiranya ada rasa yang tidak kena dengan mental kita untuk kebaikan bersama.

*Ahmad Ismadi Ismail ialah Wartawan Meja Jenayah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!