Lelaki maut disengat tebuan tanah
SEGAMAT - [DIKEMAS KINI] Perkhemahan 14 rakan di kawasan air terjun Dinding di sini, bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka maut akibat disengat tebuan tanah di kawasan perkhemahan berkenaan.
Menurut Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung perkara berkenaan sekitar 3 petang, Ahad.
“Hasil siasatan mendapati mangsa seorang lelaki berusia 40 tahun telah ke Hutan Simpan Labis bersama 14 rakannya untuk berkhemah di kawasan air terjun Dinding sekitar 1.30 tengahari.
“Ketika sedang membersihkan kawasan perkhemahan mangsa menyatakan telah disengat tebuan tanah dan tidak sedarkan diri sebelum cuba dibawa turun oleh rakan-rakannya.
“Sebaik menerima maklumat tentang kejadian, pihak polis dan bomba Labis telah memberikan bantuan ke atas mangsa,” katanya.
Tambah Ahmad Zamry, ketika bantuan diberikan mangsa masih bernafas,namun denyutan nadi menjadi semakin lemah.
Katanya, mangsa kemudiannya berjaya dibawa turun ke kaki bukit sekitar jam 6.21 petang, namun pegawai perubatan yang berada di lokasi mengesahkan bahawa mangsa telah meninggal dunia.
“Mangsa dibawa ke Hospital Segamat untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
“Sebenarnya, Hutan Simpan Labis merupakan kawasan yang diisytiharkan sebagai kawasan larangan oleh Jabatan Perhutanan Malaysia dan Jabatan Perhutanan Negeri Johor dan ia berada di bawah Akta Perhutanan Negara,” katanya.
Sementara itu Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Labis, Pegawai Bomba Kanan II Hairisyah Wahid, pihaknya menerima panggilankecemasan mangsa di sengat tebuan di Felda Tenang,Hutan Simpan Jalan Temayong, Labis melalui talian MERS999 pada jam 2.24 petang, Ahad.
Katanya, sejurus menerima panggilan berkenaan, satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu jentera Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) bersama tujuh anggota bomba dihantar ke lokasi.
“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian didapati benar terdapat seorang mangsa yang di sengat tebuan tanah ketika melakukan aktiviti sukan permotoran.
“Bagaimanapun, mangsa, seorang mangsa lelaki dewasa berusia 42 tahun telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Labis.
“PKO bertindak mengeluarkan mangsa dari kawasan yang di laporkan sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi ditamatkan sekitar jam 6.34 petang,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!