Deretan enam kedai di pekan lama Sungai Petani terbakar
SUNGAI PETANI - Deretan enam unit kedai di Jalan Kuala Ketil, pekan lama Sungai Petani dekat sini, terlibat dalam kebakaran tengah malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani, Timbalan Penguasa Bomba Ismail Mohd Zain berkata, tiga unit kedai terbakar kira-kira 90 peratus, manakala tiga lagi terbakar kira-kira lima peratus.
"Bomba menerima panggilan berhubung kejadian tersebut pada 12.47 tengah malam tadi dan menggerakkan 14 pegawai dan anggota dari BBP Sungai Petani bersama dua jentera, water tanker dan EMRS Sungai Petani ke lokasi kebakaran.
"Operasi pemadaman turut dibantu BBP Amanjaya serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Bakar Arang, PBS Sungai Petani dan PBS Bedong," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, tindakan pemadaman dilakukan menggunakan aliran 61 meter serta tiga pancutan dari jentera bomba dan PBS.
"Kebakaran dapat dibendung dan tiada mangsa dilaporkan cedera. Kerja-kerja overhaul masih dijalankan di lokasi kejadian," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!